Buletin

VOLKSWAGEN RECALL 12,732 UNIT KERETA. BAIKI MASALAH AKUMULATOR KOTAK GEAR DSG

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas model-model yang dihasilkan di antara tahun 2011 hingga 2015.

Recall tersebut adalah untuk membaiki akumulator tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar 7-kelajuan yang rosak. Sebanyak 12,732 kenderaan Volkswagen dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan di bawah kempen ini. 

Model-model yang terjejas ialah Beetle, Cross Touran, Golf (Mk6 dan Mk7), Jetta, Passat (B7), Passat CC, Polo (6R) dan Scirocco. Panggilan semula ini tidak melibatkan model-model yang dikeluarkan dari 2016 ke atas.

Dalam beberapa kes tertentu, kegagalan komponen tersebut boleh menyebabkan tekanan hilang, sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear. 

Kempen di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan kes-kes terbabit. Notifikasi untuk para pemilik akan dilaksanakan menerusi mel berkuat-kuasa serta-merta.

VPCM telah mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif. Semua kos buruh dan penggantian alat ganti adalah percuma.

Sebagai tambahan, para pemilik akan menerima kad keahlian VCP secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada Volkswagen.

Satu bahagian penting di dalam Volkswagen Cares, Volkswagen Care Plus (VCP) ialah program eksklusif untuk pemilik yang mempunyai kereta berusia 5 tahun dan ke atas.

Kelebihan lain yang dapat dinikmati oleh ahli termasuklah tiga baucar diskaun servis sebanyak 20%, Bantuan Tepi Jalan percuma selama dua tahun dan sokongan bateri di lokasi 24 jam (tertakluk kepada terma dan syarat).

Para pemilik digalakkan untuk melayari laman web Volkswagen untuk memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat. Mereka juga boleh menghubungi khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947 untuk maklumat lanjut.

Kemudian, pemilik boleh menghubungi mana-mana pusat servis Volkswagen untuk temu janji, kenderaan diperiksa dan alat ganti ditukar sekiranya perlu.

Google ads
Back to top button