
VOLKSWAGEN PERTIMBANG TUTUP EMPAT KILANG, 100,000 PEKERJA BERISIKO HILANG KERJA
Pengeluar automotif Jerman, Volkswagen dilapor sedang meneliti pelan penstrukturan besar-besaran yang boleh menyaksikan sehingga 100,000 pekerja hilang kerja serta empat kilang ditutup dalam usaha menyelamatkan operasi syarikat yang semakin tertekan.
Menurut sumber dalaman syarikat, cadangan itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat lembaga penyelia pada 9 Julai ini.
Antara kilang yang dikatakan berada dalam senarai penutupan ialah fasiliti di Hanover, Zwickau, Emden dan kilang milik Audi di Neckarsulm.
Jika dilaksanakan, lebih 45,000 pekerja dijangka terjejas secara langsung. Jumlah itu akan menambah kepada kira-kira 50,000 pengurangan tenaga kerja yang telah dirancang sebelum ini.
Langkah berkenaan dilihat sebagai antara penstrukturan paling agresif dalam sejarah industri automotif global, setanding tindakan drastik General Motors ketika krisis kewangan 2009 yang menyaksikan puluhan ribu pekerja diberhentikan dan beberapa kilang ditutup.
Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume dilaporkan telah membentangkan pelan itu kepada pengurusan kanan syarikat minggu ini bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha pemotongan kos yang dijangka menerima tentangan hebat daripada kesatuan pekerja serta kerajaan negeri Lower Saxony.
Selain pengurangan pekerja, Volkswagen juga dikatakan mahu mengurangkan pelaburan kira-kira 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang kepada sekitar €130 bilion (sekitar RM660 bilion).
Laporan turut menyebut syarikat itu sedang mempertimbangkan penyusunan semula struktur korporat termasuk memisahkan jenama utama Volkswagen dan operasi alat ganti kepada entiti berasingan.
Tekanan terhadap Volkswagen semakin meningkat susulan persaingan sengit daripada pengeluar automotif China seperti BYD, Chery, SAIC Motor dan Leapmotor yang semakin agresif menembusi pasaran Eropah.
Dalam pasaran China sendiri, Volkswagen yang sebelum ini mendominasi jualan kenderaan telah dipintas BYD pada 2024 sebelum jatuh ke tangga ketiga pada tahun berikutnya.
Penganalisis industri menyifatkan pengeluar Eropah kini berdepan realiti baharu apabila model EV keluaran China semakin mendapat tempat kerana menawarkan teknologi moden pada harga lebih kompetitif.
Volkswagen turut berdepan tekanan akibat tarif import kenderaan ke Amerika Syarikat serta permintaan EV yang lebih perlahan di Eropah, sekali gus menjejaskan keuntungan syarikat.
Kesatuan pekerja IG Metall bagaimanapun memberi amaran mereka akan menentang sebarang usaha penutupan kilang atau pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
Ketika ini, kumpulan Volkswagen mempunyai lebih 667,000 pekerja di seluruh dunia dengan hampir 43 peratus daripadanya berpangkalan di Jerman.







