Buletin

DODGE RAMCHARGER ‘MANDI’ SELEPAS 9 TAHUN TERBENGKALAI. SUSAH JUGA NAK SENTAL NI

Bayangkan kalau kita tidak mandi selama 9 tahun. Mesti kena sental kaw-kaw hilangkan daki di seluruh badan kan.

Pakar perincian Ammo NYC, Larry Kosilla, berdepan tugas berat dalam memulihkan semula Dodge Ramcharger yang terbengkalai selama 9 tahun.

Kenderaan berkenaan dibeli rakan Kosilla pada harga $900 (RM 3900). Ia ditemui terbengkalai di halaman belakang rumah seorang wanita di Carolina Utara, Amerika Syarikat.

Difahamkan Dodge Ramcharger 1991 itu sudah terbengkalai sejak tahun 2011 lagi di kawasan itu. Bagaimanapun, kenderaan tersebut dibeli atas sebab mural pada luaran badan jentera itu yang menarik perhatian dan berbaloi untuk dipulihkan semula.

Bagi memastikan kenderaan dapat beroperasi sepenuhnya, banyak kerja-kerja pemulihan yang perlu dilakukan termasuk pemulihan lantai berkarat dan pemasangan brek baharu.

Dodge Ramcharger tersebut diserahkan kepada Kosilla selepas kerja-kerja pemulihan mekanikal dilakukan. Dia menjalankan kerja-kerja di bahagian luaran dan dalaman pula.

Terlebih dahulu, Kosilla perlu membuang kulapuk yang melekat di lapisan cat badan kereta menggunakan mesin cuci tekanan.

Dia turut menggunakan formula bahan pencuci buatan sendiri sebelum mengelap kenderaan tersebut. Sekali lagi, mesin tekanan air digunakan untuk membasuh dan membilas Dodge Ramcharger.

Selepas membasuh bahagian tayar, dia mula membersihkan kabin dalaman agar ia kelihatan seperti baharu semula. Anda boleh melihat sendiri bagaimana proses pembersihan kereta dilakukan melalui video di bawah. – carscoops.

Google ads
Back to top button