
VOLVO XC40 CATAT 5 BINTANG EURO NCAP – MAKAN APA HEBAT SANGAT NI?
Jika diboleh dibuat analogi peperiksaan, Volvo adalah ibarat pelajar pandai. Di dalam ‘peperiksaan’ Euro NCAP, Volvo sentiasa cemerlang, asal periksa sahaja, Volvo dapat markah tinggi, periksa lagi sekali pun Volvo tetap markah tinggi.
Entah apa yang diamalkan oleh Volvo tidak pasti. Pandai betul.
Pada 18 Julai, Euro NCAP telah mengeluarkan dua rating ujian pelanggaran. Volvo XC40 telah mendapat skor lima bintang penuh manakala Ford Focus pun sama.
Paling cemerlang adalah bahagian perlindungan dewasa (AOP) di mana XC40 mencatat skor 97 peratus dan meletakkannya di antara lima terbaik kategori AOP sejak 2016 atau tiga tahun lepas.
Untuk makluman, skor lima bintang Euro NCAP semakin sukar untuk diperolehi dengan standard yang semakin tinggi.
Kategori ujian lain turut mencatat keputusan yang baik iaitu 87 peratus untuk perlindungan kanak-kanak, 76 peratus untuk bantuan keselamatan (SA) dan 71 peratus untuk pengguna jalan raya yang berisiko (VRU).
Salah satu sebab kenapa ujian Euro NCAP tidak sama dengan dahulu ialah mereka meraikan teknologi baharu yang lebih komprehensif.
Dalam situasi ini pihak Euro NCAP memang puji habis XC40 dan Focus apabila kedua-dua model dilengkapi dengan sistem brek kecemasan autonomi (AEB) yang mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal.
XC40 juga mempunyai teknologi kecemasan pengekalan laluan (ELK) yang mampu mengelakkan kereta daripada terbabas ke tepi atau bergerak ke arah trafik berlawanan. Memang hebat memandangkan XC40 adalah SUV paling kecil dalam famili SUV Volvo.
Ada satu lagi berita menarik, kepada peminat Volvo, model XC40 ini berkemungkinan dipasarkan di negara kita tidak lama lagi memandangkan sudah terdapat ‘sponsored ad’ mengenainya di laman Facebook pengedar rasmi Volvo.
BACA: PANDU UJI VOLVO XC90 T8 – MODEL ERA BAHARU YANG MEMBUKA MATA RAMAI!
BACA: 20 UNIT VOLVO S60 T8 POLESTAR ENGINEERED HABIS DIJUAL DALAM MASA 39 MINIT!