Buletin

INI FOTO JARAK DEKAT NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN DI GOODWOOD

Sebelum ini gegak gempita juga lah media sosial apabila Nissan mengumumkan projek GT-R50 by Italdesign. Memang tidak disangka pun Nissan dan Italdesign akan menghasilkan edisi unik ini.

Unik sebab nak kata istimewa pun bukan, terhad pun bukan. Jadinya kita gunakan istilah unik. 

Menarik tentang projek GT-R50 ialah projek sambutan ulangtahun Nissan GT-R pada 2019 dan ulangtahun Italdesign pada tahun ini.

Satu lagi perkara menarik ialah memang sudah menjadi kelaziman pada zaman kebangkitan kereta Jepun apabila pengeluarnya mengupah firma Itali bagi merekabentuk kereta-kereta supaya ada sifat global.

Untuk projek GT-R50, kedua-dua Nissan dan Italdesign duduk bersama bagi menterjemahkan konsep rekaan bersama.

Jika Nissan GT-R 35 melambangkan segala-galanya tentang Jepun terutama sekali reka bentuk yang dipengaruhi obsesi dengan robot, Gundam atau permainan video, GT-R50 pula adalah adunan falsafah Jepun dengan flair gayaan Itali.

Jika GT-R 35 nampak ‘setongkol’ dan maskulin, GT-R50 nampak anggun dan sensual sama seperti kereta super buatan Itali lain.

Itu yang disaksikan oleh pengunjung Goodwood Festival of Speed pada hujung minggu lalu apabila Nissan GT-R50 by Italdesign ditayangkan di khalayak ramai buat kali pertama.

Pada festival tersebut, GT-R50 bukan hanya dipamerkan secara statik tetapi dipandu oleh pelumba Nissan GT3 iaitu Lucas Ordóñez dan Alex Buncombe di litar Goodwood pada jarak 1.86km.

Video pemanduan tersebut juga tular di media sosial dan ia begitu mengujakan skuptur seni yang sedang bergerak.

Memandangkan ia sebuah Nissan, bunyi ekzosnya masih GT-R dan bukan kuda Itali Ferrari atau lembu Lamborghini.

Tetapi ia masih menarik dan seperti yang kami laporkan sebelum ini, Nissan sekali lagi memaklumkan tentang kemungkinan untuk menghasilkan model seumpamanya dalam unit terhad.

Memandangkan ini adalah projek kerjasama dengan firma Itali, Nissan memaklumkan jika GT-R50 dibina, ia akan dihasilkan dengan tangan.

Apabila kejuruteraan bertemu seni, inilah hasilnya!

Kredit foto: Nissan

BACA: NISSAN GT-R50 ITALDESIGN AKAN DIJUAL DENGAN HARGA RM4.2 JUTA – 50 UNIT SAHAJA

BACA: NISSAN MAHU MODEL GANTIAN GT-R ADALAH SUPERCAR YANG TERPANTAS DI DUNIA

Google ads
Back to top button