Buletin

VW ID. CALIFORNIA BAKAL DEBUT PADA 2026 – 201HP, LEBIH LUAS DAN SELESA UNTUK BERIADAH

VW ID. Buzz sudah terbukti mencapai populariti, tetapi ada keluaran lebih menarik perhatian yang disahkan secara rasmi pada tahun lepas iaitu campervan California. ID. California dijangka melakukan debut selepas 2025.

Reka bentuk ID. California seperti mencerminkan ID. Buzz tetapi terdapat ciri tambahan seperti bumbung hidraulik pop-up khas untuk memberikan ruang tambahan di bahagian atas, terutama ketika penumpang berdiri. Ia juga boleh dimuatkan dengan katil tambahan, selain bumbungnya mungkin akan menggunakan mekanisme elektrik.

Bahagian dalam pula dilengkapi dapur kecil termasuk dapur gas, singki, tangki air, serta ruang penyimpanan untuk peralatan makanan, peralatan dapur, pakaian dan barangan peribadi yang lain. Tempat duduk modular yang boleh digelongsor dan dilipat untuk mewujudkan persekitaran ruang tamu di dalam van.

Van itu juga dilengkapi kluster instrumen digital 10 inci yang digabungkan dengan skrin sentuh infotainment 12 inci. Tidak ketinggalan, tempat duduk boleh laras elektrik dan banyak port pengecasan USB di sekeliling kabin.

Jentera tersebut mungkin dibina berdasarkan varian long-wheelbase bodystyle, bagi membolehkan lebih banyak ruang di bahagian kabin. Selain boleh memuatkan pek bateri 111kWj yang lebih besar di bahagian bawah lantai.

Berbeza dengan van penumpang biasa, ID. California mungkin menggunakan gear tambahan untuk mengimbangi berat keseluruhannya. Dari segi output kuasa, ia mampu menjana 201hp dan tork 310Nm.

Menurut kenyataan rasmi Volkswagen, ID. California bakal berada di pasaran menjelang tahun 2026, tetapi kita boleh menjangkakan lebih awal kerana VW ID. Buzz akan berada di pasaran Amerika Syarikat pada 2024.

Tetapi sekiranya pelanggan tidak boleh bersabar dengan keluaran ID. California, ID. Buzz turut menerima kit penukaran seperti terdapat pada ID. California yang dipanggil “BusBox-4”. Ia cukup untuk ruang tidur anda, membawa barangan, selain menyediakan hidangan di tapak perkhemahan pada harga lebih berpatutan.

Google ads
Back to top button