Buletin

5 FAKTA VW ID. BUZZ – SECEBIS KULIT HAIWAN PUN TIADA!

Sekarang ini sudah banyak kenderaan elektrik diperkenalkan yang terdiri daripada pelbagai jenis segmen dan konsep.

Volkswagen pula memilih untuk membangkitkan nostalgia van legenda Kombi melalui model ID. Buzz.

Model ini sarat dengan ciri-ciri Kombi cumanya ia digerakkan nadi elektrik. Tidak hanya model penumpang, VW turut menawarkan versi komersial atau van barang ID. Buzz Cargo.

Sebagai sebuah model yang menjunjung kelestarian alam, Volkswagen memberi perhatian kepada komponen yang diguna pakai supaya selari dengan idea tersebut.

Dari segi reka bentuk pula, memang jelas kelihatan pengaruh Kombi di dalam van terbaru ini dan berikut disenaraikan ciri-ciri menarik pada ID.Buzz.

1. Secebis pun tiada kulit haiwan!

Kelestarian memainkan peranan besar dalam pemilihan bahan di dalam ID.Buzz. Hasilnya bahagian dalaman bebas daripada kulit haiwan!

Volkswagen menggunakan fabrik untuk beberapa bahagian balutan yang diperbuat dari botol PET yang dikitar semula dan juga plastik dari lautan.

Satu lagi yang menarik, Volkswagen tidak menggunakan kayu asli untuk riasan dalaman dan diganti dengan warna krom atau corak kayu.

2. Ruang dalaman terbuka dan luas

Van Kombi mempunyai dalaman yang luas dan ringkas, tiada lekuk atau kluster dan seperti sebuah bilik kosong.

Bateri ID.Buzz pula saiznya kompak dan dipasang di lantai untuk mendapatkan ruang terbuka dan luas. 

Dengan ruang yang ada boleh dibayangkan bagaimana ID.Buzz diubahsuai kepada van pekhemah (camper van).

3. Rekaan dalaman tidak berserabut

Selain ruang dalaman yang luas, rekaan dalaman Kombi juga ringkas. Kereta pada masa itu kurang bergantung kepada kawalan elektronik dan tidak bermakna konsep sama tidak boleh diteruskan.

Ini boleh dilihat pada ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo dengan papan pemuka yang linear ala Kombi T1 dan membujur di tepi.

Walaupun klasik, teknologi moden seperti paparan skrin besar diletakkan di bahagian tengah papan pemuka.

4. Panjang daripada Kombi 1950 

Kombi 1950 atau Type 2 T1 menggunakan badan yang dibangunkan khas untuknya. Ukuran panjang ialah 4.28 meter dan jarak roda 2.40 meter.

ID.Buzz dan ID. Buzz Cargo pula 40 sentimeter lebih panjang dan dibina dari platform modular electric drive matrix (MEB) Kumpulan Volkswagen.

Jarak roda 2.99 meter pada van baharu ini paling panjang untuk sebuah model dari MEB.

5. Depan bentuk V dan logo besar

Bahagian depan ID. Buzz memang jelas membawakan DNA Kombi dan seperti wajah yang sedang senyum.

Hud berbentuk V dan logo VW yang besar membentuk bahagian depan yang karismatik. Juga menarik ialah jaluran lampu yang menghubungkan kedua-dua lampu utama.

Bahagian sisi dan belakang dengan zon atas dan bawah selain warna pilihan dua tona pula membangkitkan lagi aura Kombi T1.

Bertemakan model klasik, VW berjaya mengadunkan ciri moden pada ID. Buzz dan membentuk identiti yang tersendiri.

ID. Buzz sudah ditawarkan di Eropah dan Volkswagen turut merancang untuk memperkenalkannya di Amerika Syarikat.

BACA: 2 BUAH VW KOMBI NAK JUAL, RASA BERAPA HARGA?

BACA: DSG DIGUGURKAN UNTUK VW GOLF MALAYSIA, AUTO 8 KELAJUAN LAGI BAGUS?

BACA: NAK KERETA ELEKTRIK MAMPU MILIK? INI ID. LIFE DARI VW

Google ads
Back to top button