
VW CATAT 20 RIBU TEMPAHAN MINIVAN EV ID. BUZZ
Volkswagen Commercial Vehicles mengumumkan jumlah tempahan yang diterima untuk model ID. Buzz kini mencecah lebih 20,000 unit.
Menurut VW, ia merupakan angka yang dicatatkan sebelum ID. Buzz sempat dipamerkan di pusat pengedar, menunjukkan sambutan yang diterima di kalangan pelanggan mereka di Eropah.
Lars Krause, ahli lembaga pengurusan jualan dan pemasaran di Volkswagen Commercial Vehicles menjelaskan, “sebelum ia sempat dilancarkan di pusat pengedar, sejak bermulanya jualan pra-pelancaran, kami sudah berjaya mencatatkan tempahan melebihi 20,000 unit untuk ID. Buzz.”

Di Eropah, ID. Buzz hanya boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dan pek bateri 82 kWh terlebih dahulu, di mana pembeli boleh mendapatkan versi van penumpang atau van kargo.
Produksi telah pun bermula di Hanover, Jerman awal Jun yang lalu, dengan perancangan angka produksi mencecah 15,000 unit menjelang akhir 2022.
Angka tersebut kemudian akan melonjak kepada 130,000 unit setahun pada masa akan datang.
Harus diingat, harga jualan ID. Buzz tidak semurah yang disangka.
Untuk versi ID. Buzz Pro, harga jualan di Jerman bermula dari €64,581 (RM303,288) atau €56,606 (RM265,836) selepas insentif.






