Buletin

XPENG G6 TIBA DI MALAYSIA – DUA VARIAN, JARAK GERAK 570KM, HARGA BERMULA RM165K

Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar tunggal jenama XPENG di Malaysia, secara rasmi melancarkan model pertama mereka, XPENG G6 Ultra Smart Coupe SUV.

Ditawarkan dalam dua varian; varian 580 Pro dan 755 Pro, model ini kini boleh ditempah dengan harga permulaan RM165,000.

XPENG G6 adalah sebuah SUV crossover bersaiz sederhana yang menampilkan platform SEPA 2.0 generasi baharu dengan seni bina 800-volt, menjanjikan keselesaan dan ruang lebih luas.

XPENG G6 direka dengan aspirasi untuk mencipta kereta elektrik yang memenuhi cita rasa generasi muda.

Dari segi dimensi, XPeng G6 mempunyai ukuran 4,753mm (panjang), 1,920mm (lebar), 1,650mm (tinggi) dengan jarak roda 2,890mm.

Memasuki bahagian dalaman, XPENG G6 dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen bersaiz 14.96 inci yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Terdapat juga panel instrumen digital 10.2 inci, tempat duduk hadapan yang boleh dilaraskan secara elektronik, port pengecasan berkuasa tinggi, bumbung kaca panoramik, dan pintu belakang berkuasa.

Satu lagi ciri menarik ialah Pembantu Suara Pintar yang dilengkapi dengan avatar interaktif dan profil suara menyerupai suara manusia selain, pemilik juga boleh mengawal kenderaan mereka dari jarak jauh menggunakan aplikasi mudah alih XPENG melalui Smart Vehicle Control.

Perincian lain termasuklah dilengkapi sistem audio 18-pembesar suara XOpera dengan kuasa keseluruhan 960W.

XPENG G6 ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu:

  • Midnight Black
  • Silver Frost
  • Artic White
  • Graphite Gray
  • Fiery Orange

Bagi bahan tempat duduk dalaman, ia dilengkapi dengan material kulit sintetik, dan semua varian mempunyai dua pilihan warna, iaitu Hitam dan Kelabu.

Beralih pada kuasa pula, varian 580 Pro dilengkapi dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 66kWh, memberikan jarak gerak sejauh 435 kilometer.

Ia mampu menghasilkan 255hp dengan kelajuan maksimum 200 km/j dan boleh mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat.

Bagi varian 755 Pro, ia dilengkapi dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 87.5kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 570 kilometer.

Varian ini menghasilkan 282hp dengan kelajuan maksimum 200 km/j dan boleh mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Kedua-dua varian ini menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti pengecasan maksimum 215kW untuk 580 Pro dan 280kW untuk 755 Pro.

Dengan pengecasan pantas DC, G6 boleh dicas dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam masa hanya 20 minit.

Bagi ciri keselamatan, XPENG G6 dilengkapi dengan ciri keselamatan standard dan lanjutan yang dikenali sebagai XPILOT 2.5.

Ciri keselamatan standard termasuk 7 beg udara dan kunci kanak-kanak elektronik. Ciri keselamatan lanjutan pula merangkumi sistem bantuan pemanduan – dilengkapi dengan radar gelombang milimeter berdefinisi tinggi, radar ultrasonik, dan kamera HD 360˚  yang dikuasakan oleh cipset Nvidia Orin-X.

Antara ciri-ciri keselamatan lanjutan termasuk Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan Stop & Go, Kawalan Pusat Lorong (LCC), Pertukaran Lorong Aktif (ALC), Bantuan Parkir Auto yang Dipertingkatkan (EAP 2.0), Bantuan Keluar Parkir Auto (AEP) melalui aplikasi mudah alih XPENG, dan pelbagai lagi.

Untuk harga, XPENG G6 ditawarkan dengan harga permulaan RM 165,000.00 untuk varian 580 Pro dan RM 185,000.00 untuk varian 755 Pro.

Model ini juga disertakan dengan jaminan pengeluar selama 5 tahun atau 120,000km, yang mana terdahulu.

Selain itu, ia juga tiba dengan jaminan bateri berkuasa tinggi selama 8 tahun atau had perbatuan 160,000km, yang mana terdahulu.

Penjagaan dan Servis

XPENG G6 hanya memerlukan penyelenggaraan yang minimum dengan selang servis sekali setahun. Untuk tahun pertama, kos penyelenggaraan adalah di bawah RM200, termasuk penjagaan sistem dan penggiliran tayar.

Walaupun tiada program penyelenggaraan percuma, kos yang rendah ini menjadikan G6 pilihan menarik bagi mereka sedang mencari kenderaan elektrik dengan kos penyelenggaraan berpatutan.

Bilik pameran utama di Glenmarie kini sedia untuk menerima tempahan, dan penghantaran akan dilakukan tidak lama lagi.

Hari ini, sebuah cawangan baharu telah dibuka di Pulau Pinang, manakala cawangan di Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka dijangka dibuka antara akhir September hingga awal Oktober.

GALERI:

Google ads
Back to top button