Buletin

BERMAZ XPENG RASMI PENGHANTARAN PERTAMA XPENG G6 CKD

Bermaz Xpeng Sdn Bhd secara rasmi menyerahkan kumpulan pertama unit XPENG G6 yang dipasang secara tempatan (CKD) kepada pelanggan di Malaysia menerusi satu majlis khas yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur.

Penyerahan tersebut menandakan bermulanya penghantaran model G6 CKD kepada pelanggan tempatan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan jenama itu dalam memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) negara melalui pemasangan tempatan serta sokongan pemilikan yang lebih menyeluruh.

Majlis berkenaan menghimpunkan pemilik terawal XPENG G6 CKD dalam suasana yang lebih eksklusif, memberi peluang kepada mereka menerima kenderaan masing-masing di salah satu mercu tanda ikonik negara.

Inisiatif itu juga mencerminkan usaha XPENG untuk mendekati pelanggan secara lebih dekat sambil memperluaskan kehadirannya dalam segmen EV yang semakin berkembang di Malaysia.

XPENG G6 CKD dihasilkan di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka dan mengekalkan pelbagai ciri utama yang menjadi kelebihan model tersebut, termasuk tahap kecekapan tenaga, teknologi pintar serta keupayaan pengecasan pantas.

Dibangunkan berasaskan seni bina elektrik 800V, model itu mampu mengecas bateri daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 12 minit.

Pada masa sama, XPENG turut mengumumkan bahawa penghantaran model MPV elektrik premium baharunya, XPENG New X9, kini telah bermula di seluruh negara.

Model itu hadir dengan pelbagai teknologi pintar, tahap keselesaan yang tinggi serta ruang kabin yang fleksibel bagi memenuhi keperluan keluarga moden.

Dengan pelancaran penghantaran G6 CKD dan New X9, XPENG terus memperluaskan portfolio produknya di Malaysia sambil memperkukuh rangkaian jualan dan perkhidmatan di seluruh negara.

Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua model tersebut di pengedar sah Bermaz XPENG di seluruh Malaysia.

Google ads
Back to top button