" "
Motosikal

RASMI: CFMOTO 675SR 2025 LANCAR DI AS – 95HP, RM34.7K

CFMOTO dengan rasminya melancarkan CFMoto 675SR untuk pasaran global dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai pasaran pertama menerima model sportsbike itu. 

Pelancaran 657SR (dikenali 675SS di AS) adalah satu kejutan kerana motosikal berkenaan dijangka akan buat debut sulung di EICMA 2024. 

Ini bukan kali pertama 675SR dipertontonkan kepada umum kerana CFMOTO mendedahkan model sportsbike tiga silinder itu lebih awal ketika CFMOTO Day di China. 

Atas kertas, 675SR dikuasakan enjin tiga silinder 674cc 12-valve dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 95hp pada 11,000rpm dan 70Nm pada 8,250rpm. Sekadar perbandingan, Triumph Daytona 675 yang turut dikuasakan enjin tiga silinder 675cc menghasilkan 126hp pada 12,600rpm dan 73Nm pada 11,750rpm. 

Bagaimanapun, 675SR tampil lebih moden dan aerodinamik termasuk dengan kehadiran  pencahayaan LED penuh, winglet serta ‘brake scoop’ yang membantu menyejukan cakera brek dengan lebih efisien. 

Selain itu, model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem quickshifter (upshift sahaja), traction control (dua peringkat) dan ABS dari Bosch secara standard. 

Sementara itu, ketika motosikal segmen 600cc rata-rata dipadankan dengan tayar depan berukuran 120, 675SR pula dilengkapi dengan tayar 110/70-17. Namun, kami jangkakan pemasangan tayar bersaiz 120 boleh dilakukan untuk tujuan ‘track day’ kerana 675SR ini dilengkapi dengan ‘lap timer’. 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • fork depan USD dari KYB boleh laras
  • penyerap hentak tunggal dari KYB boleh laras
  • kaliper brek depan 4-pot J.Juan dengan cakera 300mm
  • kaliper brek belakang 1-pot J.Juan dengan cakera 240mm
  • ABS 
  • tangki bahan api 15L
  • tayar CST Ride Migra
  • berat 185kg

Bagi pasaran Amerika Syarikat, CFMoto 675SR ini dijual dengan harga USD7,999 (RM34.7k). Untuk makluman, kami telah pun diberitahu oleh sumber terdekat bahawa 675SR akan turut dipasarkan di Malaysia.

Google ads
Back to top button