" "
Buletin

ISU EV TERBAKAR DI KOREA SELATAN, RAMAI TAK SETUJU DENGAN PERATURAN BAHARU, LARANG BATERI DICAS MELEBIHI 90 PERATUS

Pihak berkuasa di Seoul kini semakin bimbang dengan risiko kebakaran kenderaan elektrik (EV) sehingga mereka sedang menyediakan peraturan baharu yang akan melarang kenderaan dengan bateri dicas melebihi 90 peratus daripada memasuki tempat letak kereta bawah tanah.

Peraturan ini diambil selepas kejadian sebuah Mercedes-Benz EQE yang terbakar di tempat letak kereta bawah tanah di kompleks pangsapuri.

Kejadian berkenaan menyebabkan kebakaran besar yang dianggarkan merosakkan 880 kenderaan lain dan mengakibatkan 1,600 isi rumah terputus bekalan elektrik dan air selama seminggu.

Untuk mengelakkan insiden serupa pada masa hadapan, Kerajaan Metropolitan Seoul mengambil langkah tegas.

Selain daripada mengehadkan akses ke tempat letak kereta bawah tanah untuk EV yang dicas kurang daripada 90 peratus, peraturan baharu ini juga akan mengehadkan kadar pengecasan kepada 80 peratus di pengecas pantas di seluruh ibu kota Korea Selatan.

Terdapat juga rancangan untuk melaksanakan had pengecasan ini di pengecas yang dioperasikan secara persendirian.

Menurut Korea JoongAng Daily, peraturan ini mungkin akan dikuatkuasakan menjelang akhir September.

Bagaimanapun, ramai pakar EV di negara itu tidak bersetuju dengan peraturan ini. Menurut Profesor Yoon Won-sub, yang mengetuai pusat penyelidikan bateri dikendalikan oleh Universiti Sungkyunkwan dan Samsung SDI, tidak ada bukti menunjukkan bahawa bateri dicas penuh mempunyai risiko kebakaran lebih tinggi.

“Pengecasan berlebihan bukanlah faktor utama yang menyebabkan kebakaran,” kata beliau.

“EV, dari awalnya, direka untuk tidak pernah mencapai pengecasan penuh, walaupun paparan di papan pemuka menunjukkan 100 peratus.

“Ia adalah hujah tidak terbukti bahawa bateri mempunyai risiko kebakaran yang lebih tinggi apabila dicas penuh.”

Tambahnya lagi, “Ia kelihatan seperti menghalang pemilik EV dengan kenderaan yang dicas 90 peratus daripada memasuki garaj bawah tanah. Adalah penting untuk menghasilkan langkah balas sesuai selepas perbincangan mendalam di kalangan pakar.”

Daripada 139 kebakaran kenderaan elektrik yang dilaporkan di Korea Selatan dalam tempoh tiga tahun lalu, hanya 26 berlaku semasa kenderaan sedang dicas.

Sebagai perbandingan, 68 kebakaran berlaku ketika kenderaan sedang dipandu, manakala 36 lagi berlaku ketika EV sedang diparkir.

Dalam kes Mercedes-Benz EQE yang terbakar secara spontan, ia diparkir dan tidak sedang dicas.

Pemilik EV juga tidak berpuas hati. Dengan mengehadkan pengecasan, kerajaan secara tidak langsung mengurangkan jarak penggunaan sebenar bagi semua EV.

“Jika kereta berkuasa petrol terbakar, adakah kerajaan akan mengehadkan pengisian minyak kepada 90 peratus?” tulis seorang pemilik Tesla di laman media sosial Korea.

“Saya tidak faham bagaimana kerajaan boleh menetapkan angka seperti 80 dan 90 peratus; berdasarkan data yang terbukti? Jika ia begitu berbahaya, mengapa kerajaan menggalakkan orang ramai untuk membeli EV pada mulanya?”

Google ads
Back to top button