Buletin

XPENG PERLUAS INFRASTRUKTUR DENGAN LEBIH 2.4 JUTA STESEN PENGECASAN

Pengeluar kenderaan elektrik pintar dari China, XPENG, terus memperkukuh kedudukannya di pasaran serantau dengan langkah besar dalam pembangunan infrastruktur pengecasan.

Syarikat itu kini mempunyai akses kepada lebih 2.4 juta kemudahan pengecasan di seluruh Eropah dan Asia Pasifik, sekali gus menyokong model utamanya seperti G6, G9 dan X9 yang dilengkapi teknologi pengecasan ultra pantas 800V.

Di Asia Tenggara, XPENG menjalin kerjasama strategik dengan Charge Plus, penyedia rangkaian pengecasan terbesar di Singapura yang menguasai lebih 30 peratus pasaran tempatan.

Melalui usaha ini, pemilik XPENG akan dapat menggunakan lebih 3,800 stesen pengecasan di lima negara iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja, termasuk lebuh raya utama dari utara ke selatan.

Kerjasama ini menjadikan XPENG jenama kenderaan elektrik baharu dari China yang pertama bekerjasama dengan Charge Plus di rantau ini.

Beberapa stesen pengecasan berjenama bersama XPENG & Charge Plus di bandar utama Malaysia, Thailand dan Singapura sudah pun mula beroperasi.

Selain itu, pemilik kenderaan XPENG turut ditawarkan diskaun khas sehingga hujung tahun ini serta kemudahan menyemak status pengecasan secara langsung melalui paparan dalam kereta.

Model terbaharu G6 menjadi tumpuan kerana dilengkapi seni bina penuh 800V generasi baharu dengan bateri Supercharging AI 5C.

Ia mampu dicas daripada 10 hingga 80 peratus hanya dalam tempoh 12 minit dengan kuasa maksimum 451kW – lebih pantas berbanding kebanyakan EV lain di pasaran.

Kecekapan penggunaan tenaga G6 iaitu 15.6kWh bagi setiap 100km turut memperkukuh reputasinya sebagai EV pintar yang efisien.

XPENG turut menegaskan bahawa menjelang akhir 2025, pengguna akan menikmati pengalaman “drive-in, charge & go” menerusi aplikasi mudah alih syarikat itu, lengkap dengan fungsi pembayaran sehenti.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan kepada pemilik EV, malah menegaskan komitmen XPENG membawa teknologi pengecasan pantas, pintar dan berkualiti tinggi ke pasaran global.

Google ads
Back to top button