
XPENG PERKENAL STRATEGI AI TECH TREE BAHARU – LANCAR MODEL FLAGSHIP X9 2025
XPENG, syarikat mobiliti pintar berteknologi tinggi dari China, baru-baru ini mendedahkan strategi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai AI Tech Tree, sekali gus memperkenalkan model flagship global mereka untuk tahun 2025, iaitu XPENG X9.
Strategi ini menandakan langkah besar XPENG dalam mengubah landskap mobiliti masa depan.
AI Sebagai Pemacu Utama Mobiliti Masa Depan

Memasuki dekad baharu, XPENG menetapkan AI sebagai teras utama dalam pembangunan mobiliti, menggabungkan pendekatan elektrifikasi dan AI terbenam (embodied AI) untuk membuka potensi pelbagai bentuk pengangkutan masa depan.
XPENG menjadi pengeluar kereta pertama di China yang berjaya menghasilkan kenderaan secara besar-besaran menggunakan model AI berskala besar secara hujung ke hujung (end-to-end).
Tambahan, teknologi pemanduan pintar ini juga kini dalam fasa ujian di Hong Kong sebagai langkah awal peluasan ke pasaran global.
Antara inovasi terpenting adalah cip AI buatan sendiri, Turing AI Chip, yang mempunyai 40 teras dan mampu menjalankan model dengan 30 bilion parameter secara tempatan.
Ini memberikan kuasa pemprosesan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding cip sedia ada. Cip ini dijangka memasuki fasa pengeluaran besar-besaran di China pada suku kedua tahun 2025.
Menurutnya, kuasa cip Turing akan dimanfaatkan bukan sahaja dalam kenderaan pintar, tetapi juga dalam kenderaan terbang dan robotik, membolehkan integrasi teknologi merentas pelbagai bidang.

Mobiliti Udara & Robot Humanoid
XPENG turut mempersembahkan Land Aircraft Carrier keluaran syarikat subsidiarinya XPENG AEROHT, iaitu kenderaan terbang modular pertama di dunia.
Dengan lebih 4,000 tempahan awal, kenderaan ini dijangka mula diproduksi secara besar-besaran menjelang 2026, membuka jalan kepada akses lebih meluas terhadap mobiliti udara.
Turut mencuri perhatian ialah robot humanoid “IRON” yang dijana oleh cip Turing AI. Mempunyai 60 sendi, 200 darjah kebebasan dan kuasa pemprosesan 3,000 TOPS, IRON dilengkapi sistem penglihatan AI 720° yang turut digunakan dalam teknologi pemanduan autonomi XPENG.
Menurut laporan, robot ini dirancang untuk digunakan dalam kilang pintar dan persekitaran runcit.
XPENG X9 2025: Penanda Aras Baharu Mobiliti Pintar

XPENG secara rasmi melancarkan X9 2025, model MPV elektrik penuh yang kini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk, keselesaan dan teknologi pintar.
Harga rasmi bermula dari RMB359,800 (sekitar RM238,000), iaitu lebih rendah berbanding harga pra-jualan sebelum ini.
4 Varian Ditawarkan:
- Long Range Max (650km) – RMB359,800 (sekitar RM238k)
- Ultra Long Range Max (740km) – RMB379,800 (sekitar RM251k)
- AWD Performance Max (702km, AWD) – RMB399,800 (sekitar RM265k)
- Starship Edition (lengkap semua ciri, 702km) – RMB419,800 (sekitar RM278k)
Bahagian dalaman kini tampil jauh lebih premium dengan penggunaan bahan lembut seluas 26.6 meter persegi dan kemasan logam PVD eksklusif. Ciri utama termasuk:
- Kerusi “Zero Gravity” berinspirasikan NASA (barisan 1 & 2), direka untuk mengurangkan tekanan pada tulang belakang dan pinggul sehingga 60 peratus.
- Kabin luas dengan 7.7 meter persegi ruang penggunaan, tinggi dalaman 1,360mm, dan laluan tengah selebar 165mm – mesra kanak-kanak dan mudah bergerak.
- Baris ketiga kini boleh laras sepenuhnya dan dilengkapi sokongan kepala elektrik serta fungsi lipat rata untuk ruang simpanan maksimum.

Teknologi Pintar & Hiburan
- Skrin infotainment 21.4-inci dengan pensijilan anti-cahaya biru TÜV Rheinland
- Sistem karaoke tanpa mikrofon, peti sejuk/pemanas 10.8L dan soket 220V
- Fungsi lipatan automatik sekali sentuh untuk tempat duduk baris ketiga
Selain itu, semua varian kini lengkap dengan sistem Turing ADAS, disokong oleh visual interaktif “Little Blue Light”. Model ini juga mengekalkan sistem stereng roda belakang aktif yang memberikan radius pusingan hanya 5.4 meter, terbaik dalam kelasnya.
XPENG turut membangunkan algoritma khas “6D Anti-Motion Sickness”, menggunakan model AI berskala besar untuk mengurangkan mabuk perjalanan dan meningkatkan kestabilan pemanduan di jalan beralun.
Dibina atas platform 800V, X9 menyokong pengecasan pantas dan menawarkan dua jenis bateri:
- NMC 105kWh
- LFP 94.8kWh
XPENG juga melabur lebih RM330 juta dalam pembangunan kesenyapan kabin (NVH), dengan 58 penambahbaikan bunyi dan gegaran.
Pemilik model X9 sebelum ini bakal ditawarkan naik taraf percuma untuk beberapa ciri seperti kerusi Zero Gravity, sistem ADAS baharu, dan laluan tengah yang diperluas.







