Buletin

XPENG LANCAR KEMASKINI GLOBAL OTA 5.8.0 – CIRI BAHARU ‘HUMAN-MACHINE CO-DRIVING’

Syarikat automotif berteknologi tinggi dari China, XPENG Motors mengumumkan pelancaran kemas kini global XOS 5.8.0 bermula 25 Ogos 2025.

Ini merupakan naik taraf perisian “Over-The-Air” (OTA) ketiga tahun ini selepas versi 5.4.5 pada Januari dan 5.6.0 pada Mei, sekali gus memperkukuh reputasi XPENG sebagai peneraju dalam inovasi pintar untuk kenderaan elektrik (EV).

Tidak sekadar peningkatan rutin, XOS 5.8.0 menawarkan pengalaman lebih menyeluruh dengan integrasi teknologi kabin pintar dan pemanduan berautonomi yang lebih responsive.

Ciri Baharu – Human-Machine Co-Driving

XPENG kini menjadi pengeluar pertama di Eropah yang memperkenalkan Human-Machine Co-Driving sebagai ciri standard.

Apabila fungsi Lane Centering Control (LCC) diaktifkan, sistem akan bekerjasama dengan pemandu tanpa terputus ketika stereng dipegang, menghasilkan kawalan lebih semula jadi dan stabil, termasuk ketika memasuki atau keluar dari lebuh raya.

Selain itu, sistem Adaptive Cruise Control (ACC) juga dipertingkatkan untuk selekoh lebih pantas dan nyahpecutan lebih lancar.

Pet Mode – Selamat untuk Haiwan Peliharaan

XPENG turut memperkenalkan Pet Mode, direka khas untuk pemilik haiwan kesayangan. Apabila diaktifkan, tingkap akan tertutup, pintu terkunci dan sistem penghawa dingin mengekalkan suhu selesa.

Pemilik menerima notifikasi masa nyata melalui aplikasi XPENG dan boleh mengawal mod ini dari jauh – memastikan haiwan kekal selamat walaupun ditinggalkan seketika di dalam kereta.

Karaoke Tanpa Tangan dengan KaraFun

Pengguna kini boleh memuat turun aplikasi KaraFun terus dari kedai aplikasi dalam kereta dan menikmati karaoke tanpa gangguan, menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan.

Keselesaan & Keselamatan Global

XOS 5.8.0 turut membawa beberapa pembaharuan lain termasuk:

  • Suhu penghawa dingin minimum diturunkan kepada 16°C, sesuai untuk iklim tropika.
  • Fungsi Dashcam kini dengan rakaman kecemasan automatik.
  • Sistem XCOMBO dikembangkan dengan sokongan 21 bahasa dan lebih 700 fungsi atomik untuk pengalaman kokpit pintar yang benar-benar peribadi.

Pengguna boleh mencipta senario khas mengikut gaya pemanduan atau memilih mod pra-tetapan rasmi bagi hiburan, keselamatan, keselesaan, penjimatan tenaga dan banyak lagi – hanya dengan satu sentuhan.

Ketua Pembangunan Perkhidmatan Antarabangsa XPENG, Alex Tang, berkata, “Dengan pelancaran XOS 5.8.0, kami menawarkan ruang mobiliti yang lebih pintar, selesa dan pelbagai untuk pengguna global. Setiap kemajuan teknologi XPENG adalah hasil mendengar keperluan komuniti kami di seluruh dunia.”

Google ads
Back to top button