
XPENG PAMER TEKNOLOGI TERKINI MOBILITI AI DI IAA 2025
XPENG, syarikat teknologi tinggi dari China, tampil dengan pencapaian terbaharu dalam bidang mobiliti pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di pameran IAA Mobility 2025.
Antara tarikan utama ialah pelancaran Next P7, sedan sport elektrik yang menonjolkan kepakaran XPENG dalam teknologi AI, sistem pemanduan pintar serta kejuruteraan berprestasi tinggi.
Seiring acara ini, XPENG turut mengumumkan pembukaan Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) di Munich pada September, iaitu fasiliti pertama syarikat itu di Eropah.

Langkah ini menandakan komitmen XPENG untuk mendekati pengguna Eropah dan membangunkan inovasi mobiliti masa depan bersama pasaran tempatan.
Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif XPENG, He Xiaopeng, Next P7 bukan sekadar kereta elektrik tetapi sebuah “teman pintar” yang menunjukkan kemampuan penuh teknologi AI dibangunkan sendiri oleh syarikat.
Naib Pengerusi merangkap Presiden XPENG, Dr. Brian Gu, pula menegaskan strategi global syarikat itu. Dari kemunculan pertama di IAA 2023, XPENG kini sudah menjadi pemain keenam terbesar dunia dalam pasaran EV, beroperasi di lebih 46 pasaran antarabangsa.

Pasaran Eropah kini menjadi tumpuan utama XPENG. Menurut kaji selidik firma penyelidikan pasaran Jerman, USCALE, pada Julai 2025, XPENG muncul sebagai jenama kereta China pertama yang berada di tangga teratas Net Promoter Score (NPS) dengan skor 81 peratus, jauh mengatasi purata industri.
Kemegahan XPENG dibantu oleh eluruh ekosistem mobiliti XPENG, daripada kereta pintar, kenderaan terbang hingga robot humanoid yang dibina di atas sistem AI dibangunkan sendiri.
Dengan seni bina pengkomputeran pusat dan kawalan zonal, XPENG menyasarkan untuk menghasilkan kenderaan pemanduan autonomi Tahap 4 (L4) menjelang 2026, di samping menjalankan ujian Robotaxi di China.
Di IAA Munich 2025, XPENG mempamerkan lima model termasuk G6, G9, X9 MPV, P7+ serta tumpuan utama, Next P7. Sedan sport elektrik ini menawarkan 593PS, pecutan 0–100km/j dalam 3.7 saat, kelajuan maksimum 230km/j, dan telah mencatat rekod ketahanan EV dengan jarak 3,961km dalam masa 24 jam.

Selain itu, anak syarikat XPENG AEROHT bakal melakukan penerbangan sulung antarabangsa bagi kenderaan terbang modular pertama dunia, “Land Aircraft Carrier”, di Dubai Oktober ini.
Model tersebut telah menerima lebih 5,000 tempahan awal dan dijangka mula diproduksi besar-besaran menjelang akhir 2026.
XPENG juga melangkah ke bidang robotik dengan pembangunan robot humanoid IRON. Selepas lima tahun penyelidikan dan enam generasi prototaip, robot ini kini menjalani latihan di kilang dan dijangka memasuki produksi pada 2026.
Tambahnya, versi generasi baharu pula akan diperkenalkan pada suku keempat tahun ini.









