Buletin

ZEEHO AE8 SE MENANG THAILAND BIKE OF THE YEAR 2025 (EV 3000 – 5000W)

ZEEHO, jenama khusus motosikal elektrik daripada CFMOTO, mencuri perhatian apabila model AE8 SE diumumkan sebagai pemenang anugerah berprestij Thailand Bike of the Year 2025 bagi kategori EV (3000 – 5000 Watt).

Pengiktirafan ini menekankan keupayaan ZEEHO dalam teknologi, prestasi dan reka bentuk inovatif.

Anugerah Thailand Bike of the Year, yang dianjurkan oleh Grand Prix International PLC, telah berlangsung selama hampir dua dekad dan kini menjadi penanda aras penting dalam industri motosikal Thailand yang rancak.

Penilaian bagi anugerah ini melibatkan hampir 20 pengeluar dan jenama, dengan kriteria yang meliputi prestasi, keselamatan, teknologi khas, gaya dan nilai untuk wang.

ZEEHO AE8 SE mendapat pujian daripada panel pakar media dan industri. Ujian menyeluruh telah dijalankan, termasuk pecutan, suspensi, brek dan ketangkasan dalam situasi tunggangan sebenar.

Kemenangan ini merupakan kemunculan pertama ZEEHO di anugerah Thailand Bike of the Year. Ia menyusuli kemunculan syarikat itu di Ekspo Motor Thai pada akhir 2024.

ZEEHO AE8 SE

ZEEHO AE8 SE adalah edisi khas AE8 yang baharu, direka untuk menawarkan pengalaman menunggang yang dipertingkatkan.

Ia mampu mencapai jarak perjalanan WMTC sejauh 105 km dan kelajuan tertinggi 90 km/j. Pecutan 0-50 km/j boleh dicapai dalam masa kurang daripada 5 saat, hasil daripada kuasa puncak 8 kW.

Berbanding dengan model AE8 standard, AE8 SE menampilkan hendal dan paparan LCD yang direka bentuk semula.

Ia juga dilengkapi dengan bateri  lebih besar dan struktur dwi-sel (dual cell) yang diseragamkan dan membolehkan jarak perjalanan lebih jauh daripada motor habnya yang tahan lasak.

Posisi menunggang telah diubah suai untuk keselesaan dan kawalan yang lebih baik, manakala ruang simpanan di bawah tempat duduk juga diperbesarkan.

Ia juga mempunyai paparan baru yang memudahkan interaksi pengguna dan penampilannya motosikal ini kelihatan sangat futuristik.

Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukan ZEEHO di Thailand. Ia juga menunjukkan komitmen syarikat terhadap negara itu yang terbuka kepada motosikal bandar moden.

ZEEHO AE8S+ di Malaysia Dengan Harga RM18,888 Untuk Pasaran Tempatan

Untuk pengguna tempatan, MForce Bike Holdings selaku pengedar ZEEHO telah melancarkan model ZEEHO AE8S+ pada Disember 2024.

Satu yang menarik kerana pengguna dihidangkan vesi premium varian AE8S+ dengan brek Brembo di hadapan.

AE8S+ merupakan model perdana dari ZEEHO di Malaysia, menawarkan ciri-ciri premium seperti skrin TFT berwarna.

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) juga didatangkan secara standard bagi menjamin keselamatan penunggang.

ZEEHO AE8S+ ini menawarkan jarak perjalanan sejauh 100 km dengan setiap cas penuh. Proses pengecasan dari 0 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 5 jam.

Skuter elektrik ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 100 km/j dengan kuasa sebanyak 12.5 kW atau 17 hp dan tork 218 Nm.

Skuter ini turut dilengkapi dengan tiga mod menunggang iaitu ECO, STREET, dan SPORT, membolehkan penunggang menyesuaikan pengalaman tunggangan mereka mengikut keperluan.

Google ads
Back to top button