Artikel Pilihan

10 CIRI KERETA MODEN YANG BAGUS

Tahun lepas kami telah memuatnaik satu artikel berkenaan ciri-ciri kereta moden yang kurang praktikal. Artikel tersebit telah dikongsi sebanyak 3000 perkongsian dan menerima pelbagai pendapat dari pengguna. Ada yang bersetuju dan ada yang tak bersetuju dengan artikel tersebut. Namun terpulang kerana ia hanya pendapat peribadi penulis.

Untuk berlaku adil, artikel kali ini akan mengupas 10 ciri kereta moden yang bagus dan praktikal. Ciri-ciri yang ditambah ini menjadikan pemanduan semakin seronok, selesa dan juga selamat. Walaupun inovasi yang dibuat ini hanya kecil, namun ia menjadikan kalau ciri-ciri ini tiada rasa semak juga kan.

1. Kamera pandang belakang – 13 tahun lepas pensyarah penulis menjadikan projek pemasangan kamera undur belakang pada kereta nampak terlalu futuristik. Kan dah ada pengesan undur belakang. Cukup la kan. Namun terdapat beberapa kes kematian di mana pemilik terlanggar anak kecil sewaktu mengundurkan kereta menjadikan kamera uni satu keperluan terutama jika anda memandu kenderaan bersaiz besar.

Nissan sebagai contoh memberikan fungsi kamera dengan sudut 360 darjah lengkap dengan sensor pergerakan yang akan memberikan amaran jika kamera mengesan pergerakan objek lain sewaktu mengundur. Kamera ini juga memudahkan kereta diparkir di tempat sempit atau melalui ruang yang terhad.

All View Monitor Navara

2. Kerusi dengan kipas penyejuk – Abam Japar sebut sebagai kipas penyejuk punggung merupakan satu fungsi yang akan menyejukkan bahagian belakang pemandu. Bayangkan anda telah memandu beberapa jam dari pagi sampai ke waktu malam. Namun disebabkan perjalanan masih jauh, anda tidak boleh berhenti untuk mandi dan berehat.

Sebaik sahaja kipas dipasang, ia akan menghantar udara sejuk dari persekitaran ke bahagian belakang anda. Namun yang paling seronok jika anda perlu masuk ke dalam kereta pada waktu tengahari, kipas ini akan menyejukkan kerusi anda daripada bahang panas matahari.

Kerusi depan CX-9 dengan kipas penyejuk.

3. Tayar Moden – jika dibandingkan teknologi tayar baru dan 20 tahun yang lepas, terlalu banyak perubahan yang berlaku dalam teknologi tayar. Tayar sekarang lebih tahan lasak, lebih sesuai untuk dipandu di jalan basah tanpa perlu risau dengan aquaplaning, jarak brek yang lebih pendek, lebih senyap dan lebih seronok dipandu di jalan yang berselekoh.

Boleh baca pandu uji tayar di SINI.

4. Kawalan Audio di Stering – walaupun hanya 2 buntang ringkas untuk menaikkan dan menurunkan kekuatan bunyi pembesar suara, namun butang ini akan memastikan kedua-dua tangan pemandu kekal di stering. Tambah menyenangkan dengan tambahan lampu LED yang membenarkan operasi sistem audio menjadi lebih mudah.

Mazda CX30

Malah pergerakan ibu jari adalah berdasarkan memori di mana pemandu tidak perlu mengalihkan mata dari jalan dan memberikan fokus sepenuhnya pada pemanduan. Terdapat satu lagi ciri di mana sistem audio akan menaikkan kekuatan bunyi berdasarkan halaju kereta seperti kereta Honda City milik penulis. Semakin laju kereta, semakin kuat kunyi sistem audio. Apabila kereta dipandu perlahan, bunyi audio akan kembali perlahan

5. Lampu Automatik – ciri ini apabila diaktifkan akan menghidup dan mematikan lampu utama secara automatik apabila sensor mengesan perubahan keamatan cahaya. Sebagai contoh apabila hari senja, lampu akan dihidupkan. Situasi sama juga apabila pemandu melalui terowong ataupun parkir bawah tanah.

Kebiasaannya fungsi ini akan datang dengan lampu follow me home yang akan menyala dalam 30-60 saat selepas enjin dimatikan dan pintu dikunci bagi menerangi kawasan gelap ataupun garaj kereta buat seketika. Ini akan memberikan rasa dan suasana yang selamat kepada pemandu sewaktu keluar dari kereta menuju ke rumah pada waktu malam.

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut berkenaan teknologi lampu di SINI

6. Sambungan Bluetooth-antara telefon pintar dengan unit sistem hiburan di dalam kereta membenarkan banyak aktiviti perhubungan dilakukan. Anda boleh menjawab panggilan telefon, menerima panggilan telefon dan memainkan lagu kegemaran yang anda simpan di dalam telefon dengan mudah. Ingat ya, kalau kena saman disebabkan menggunakan telefon sewaktu memandu pun boleh tahan mahal.

7. Fungsi butang tekan dan hidup – antara fungsi yang menjadikan satu kereta nampak mahal dulu. Hanya simpan kunci dalam poket, sensor akan mengesan tangan di pemegang pintu dan akan membuka kunci secara automatik. Model kereta BMW akan menyalakan lampu di sekeliling kereta sebagai menyambut pemandu.

8. Sistem Amaran Titik Buta – pada mulanya ia hanya diperkenalkan pada model mewah seperti Volvo namun kini ia turut diperkenalkan pada model yang mampu milik seperti Vios, Yaris dan juga Rush. Jangan pandang remeh berkenaan ciri ini kerana ia mampu mengelakkan kemalangan seperti sewaktu penulis alami ketika memandu uji sebuah SUV satu ketika dahulu. Diam diam ada sebuah motosikal masuk dalam titik buta penulis.

9. Sistem Amaran Lintasan Belakang – dalam bahasa inggeris ia disebut Rear Cross Traffic Alert. Sensor yang sama digunakan untuk mengesan kenderaan ketika melalui titik buta pada cermin belakang akan bertindak memberi amaran kepada pemandu ketika mengundur keluar dari parkir. Paling bagus ia boleh mengesan arah kereta yang datang dari kiri atau kanan dan memberi amaran kepada pemandu

10. Sistem pemanduan adaptif – ciri ini mulai dipasarkan pada model Proton X70 yang membolehkan kereta mengekalkan halaju tetap di lebuhraya, membrek secara automatik apabila terdapat halangan pada laluan dan menyambung semula halaju yang ditetapkan oleh pemandu secara automatik. Ia berfungsi dengan input daripada sensor yang dipasang pada grill depan serta kamera pada cermin depan kereta.

Tags
Google ads
Back to top button