Pandu Uji

TELAH DIUJI: TAYAR CONTINENTAL ULTRA CONTACT 6

Semasa pulang berhari raya Aidil Adha melalui jalan dari Jeli ke Grik tahun lepas, sebenarnya kereta saya pun hampir terbabas 2 3 kali semasa melalui lopak air. Kalau ikutkan kedalaman longkang tayar, masih lagi melepasi piawaian minima 1.6mm. Namun disebabkan keadaan jalan yang tidak rata ia membolehkan air bertakung menjadi punca kepada masalah aquaplanning. Sekurang-kurangnya terdapat 7 buah kereta yang terbabas dan mengalami kemalangan dan juga terbabas masuk dalam longkang.

Semasa  saya melalui lopak air, halaju saya hanyalah sekitar 60-70km/j. Walaupun kereta saya dilengkapi dengan VSA  Vehicle Stability Assist (Terma Honda untuk Electronic Stability Control), terasa juga kesan aquaplanning. Bunga dan longkang tayar tak cukup dalam untuk belah lopak air dengan selamat menyebabkan tayar seolah-olah terapung di atas jalan.

Keadaan asal tayar penulis

Zero steering feedback, tayar tiada cengkaman, brek pun tak guna dan apa yang boleh saya buat pegang stering kuat-kuat dan halakan pada jalan yang kering. Selepas 3 4 kali mengalami situasi yang sama, peluh jantan saya mula mengalir walaupun cuaca sejuk. Kalau terbabas di tengah hutan belantara ini, susah kami hendak minta pertolongan. Tambahan pula hari sudahpun senja.

Selepas sampai ke rumah, penulis terus ke kedai tayar untuk menukar tayar kereta kepada tayar Continental Ultra Contact 6. Kali terakhir saya pakai tayar jenama Continental ialah pada tahun 2012 dari model Continental Comfort 2. Masih melalui jalan yang sama iaitu Jalan Grik-Jeli, tayar Continental Comfort 2 squeal atau berbunyi semasa melalui selekoh pada halaju 60-70km/h.

Pada asalnya penulis bercadang untuk menggunakan Michelin Pilot Sport 3, atau Pilot Sport 4, tapi saiz tayar 185/55/16 agak terhad. Kalau hendak guna juga tayar tersebut penulis perlu menukar dahulu rim tayar pada saiz yang lebih besar dan sudah pasti kos penukaran tayar akan menjadi lebih mahal. Pada masa yang sama, penulis juga sudah bosan menggunakan tayar entry level ataupun tayar ECO 

Jadi lepas buat sedikit kajian dan review, penulis merasakan Continental Ultra Contact 6 adalah pilihan yang tepat dengan saiz dan bajet. Ia lebih baik dari tayar ECO dan harganya masih mampu milik.  Ini pandangan dan pemerhatian penulis selepas setahun dan 40,000km perjalanan

Dry Grip / Cengkaman pada hari panas

Cengkaman Continental UC6 pada waktu kering sangat baik. Berikan tayar ini selekoh tajam dan masuk tanpa brek, tayar ini memberi cengkaman yang sangat baik tanpa protes. Sangat taat pada input steering tanpa bantahan. Jika dibandingkan dengan tayar ECO atau entry level yang lain ianya jauh lebih baik

Selepas menggunakan tayar ini selama setahun, ia masih lagi menawarkan cengkaman yang baik walaupun dipandu laju melalui jalan berselekoh. Tayar ini datang dengan teknologi Diamond Edge yang memaksimakan sentuhan tayar dengan permukaan jalan bagi membantu proses brek dengan mengekalkan blok bunga tayar daripada terherot ketika membrek.

Mazda CX30

Wet Grip / Cengkaman Pada Hari Hujan

Sewaktu hujan saya sengaja memandu kereta dan pastikan tayar melanggar lopak air pada kelajuan 90km/h. Berbanding dengan tayar lama dari jenama lain, tayar Continental UC6 membelah air tanpa sebarang masalah. Sedikit pun roda stering tidak terganggu. Boleh perhatikan bunga tayar berbentuk V yang berfungsi menyingkirkan air dengan pantas. Teknologi ini dipanggil sebagai Aqua Channel.

Bukan itu sahaja tayar ini juga memiliki saluran dan juga poket khas untuk mengalirkan air dengan cepat bagi mengelakkan aquaplanning dengan teknologi Aqua Drainage.

Membrek ketika selekoh pada jalan basah juga tidak membuatkan saya mengucap panjang walaupun penumpang sebelah sudah membrek. Tayar Continental UC6  berhenti dengan baik tanpa sedikit pun terseret. Malah tayar ini telah terbukti mampu membelah jalan basah di lebih raya tanpa masalah. Sekali lagi Diamond Edge digunakan untuk memastikan ia menyingkirkan lapisan air pada permukaan tayar.

Ketika menghampiri Tanjung Malim ketika hujan lebat, air hujan telahpun membasahi jalan dan juga selekoh. Kereta saya masih mampu dipandu di laluan kanan lebuh raya pada halaju 110-120km/j. Namun nasib malang menimpa kereta di belakang saya apabila kereta tersebut tiba-tiba berputar 360 darjah dan menghentam sebuah kereta lain ketika melalui lopak air yang sama

Namun setelah setahun menggunakan tayar ini, ia telah menjadi sedikit haus dan kedalaman bunga tayar menjadi sedikit nipis. Jika dipandu pada halaju 110-120km/j sewaktu hujan lebat, maka ia akan teras seperti sedikit membuang walaupun di jalan lurus. Solusi yang terbaik ialah pandu dengan perlahan sekitar 100km/j bagi mengelakkan kesan aquaplanning

Bunyi Tayar

Bunyi atau tyre noise bagi tayar Continental UC6 ini agak bising berbanding dengan Continental Comfort 6 ataupun Michelin XM2. CC6 sangat senyap walaupun permukaan jalan tidak sempurna seperti di permukaan jalan kawasan pembinaan dan ia juga juga sangat lembut. Tapi UC6 memberikan tindak balas segera dan tepat semasa selekoh sebagai ganti

Selepas setahun digunakan perbezaan kadar bunyi tayar tidaklah begitu ketara dan masih boleh diterima. Bagi mengurangkan bunyi bising, Teknologi Noise Breaker 2.0 digunakan pada tayar ini.

Respon dan Tindak Balas Tayar

Berbanding dengan Continental CC6 yang terasa agak lembut dan selesa, Continental UC6 terasa sedikit keras apabila melalui jalan yang tidak rata namun tidaklah sampai mengganggu keselesaan pemanduan. Walaupun ia hanya menggunakan ketebalan siri 55%, ia masih mampu menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik. Sekiranya bunyi yang kuat terhasil ketika melalui lubang, barulah anda sedar lubang tersebut lebih dalam daripada lubang yang lain.

Terdapat 2 teknologi polimer yang digunakan oleh Continental pada tayar ini iaitu short grip polymer dan juga long mileage polymer. Short grip polymer akan diaktifkan ketika kereta melalui jalan selekoh dan juga membrek dengan menghasilkan haba. Haba ini akan memastikan tayar menghasilkan cengkaman jalan yang bagus. Long Mileage Polymer pula akan memastikan jangka hayat tayar ini adalah tinggi. Treadwear bagi tayar ini adalah pada kadar 340.

Ketika dibeli pada tahun lepas, tayar Continental UC6 ini berharga RM 210 per unit tidak termasuk kos penukaran injap getah yang baru. Bagi penulis dengan harga yang ditawarkan, tayar ini memberikan respon dan tindak balas yang bagus dalam pelbagai keadaan cuaca. Mungkin penulis akan membeli lagi tayar ini sekiranya perlu menukar lagi tayar pada masa hadapan. 

Tags
Google ads
Back to top button