Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL :FUNGSI LAMPU PADA KERETA MODEN

Selain berfungsi sebagai alat untuk menerangi kegelapan pada waktu malam, lampu kereta sebenarnya telah mengalami revolusi rekabentuk yang sangat laju seiring dengan perkembangan teknologi elektronik dan juga mentol. Bermula dengan mentol biasa, ia berkembang menjadi mentol halogen, Xenon High Intensity Discharge dan muncul pula teknologi LED membolehkan lampu kereta menawarkan pelbagai fungsi dan ciri keselamatan untuk pemandu.

Dalam artikel yamg lepas, kita telah membincangkan berkenaan bagaimana lampu reflektor, projektor, dan juga LED berfungsi. Artikel kali ini pula menerangkan pelbagai fungsi dan terma teknologi lampu yang ditawarkan oleh pengeluar dan dijual di negara ini. Mungkin fungsi akan menjadi kriteria anda ketika memilih untuk membeli kereta baru nanti.

Cornering Lamp/ Foglamp – Lampu Selekoh

Lampu ini dalam bahasa melayu bermaksud lampu selekoh atau lampu kabus (foglamp) yang akan menyala secara automatik ketika ia mengesan pemandu memberikan input pada roda stering. Apabila sensor mengesan pemandu membelok ke kiri, lampu kabus kiri akan menyala secara automatik memberi cahaya yang lebih pada sebelah kiri. Proses yang sama akan dibuat jika pemandu membelok ke arah kanan.

Proton X70 akan menyalakan lampu kabus LED pada bampar jika ia mengesan pemandu mengambil selekoh. Namun jika pemandu memilih untuk menyalakan lampu kabus sepanjang masa, maka fungsi ini tidak akan dihidupkan. Hyundai Tucson 1.6 Turbo pula menamakan teknologi ini sebagai Low Beam Static Assist dan ia diletakkan bersebelahan dengan lampu utama. Sama seperti Proton X70, ia datang dengan teknologi LED

Auto Headlamps / Lampu Automatik

Kebanyakan kereta masa kini datang dengan teknologi yang akan menyala secara automatik apabila sensor cahaya mengesan kereta dipandu di dalam gelap seperti di dalam terowong, lot parkir bawah tanah ataupun jika dipandu pada waktu malam. Pemandu hanya perlu menetapkan suis lampu pada kedudukan auto dan secara automatik proses menghidupkan dan mematikan lampu akan diuruskan oleh sensor.

Follow Me Home / Jom Ikut Saya Balik Rumah

Fungsi ini bukanlah untuk mengajak kereta anda masuk dalam rumah, tapi ia membenarkan cahaya lampu untuk terus kekal hidup selama 30-60 saat bergantung pada tetapan yang dibuat oleh pemandu. Ideanya ialah lampu kereta akan menerangi kawasan parkir yang gelap atau pintu rumah anda agar senang anda membuka pintu ketika anda pulang ke rumah pada waktu malam. Sesetengah kereta membolehkan agar anda menutup lampu apabila anda menekan butang kunci kereta untuk mengunci kereta.

Toyota Vios dan Perodua Myvi D20N merupakan  kereta segmen B yang menawarkan fungsi ini pada model 2019.

Intelligent High Beam Control / Kawalan Lampu Tinggi Pintar

Untuk merealisasikan fungsi ini terdapat satu sensor yang akan dipasang pada hadapan kereta (cermin atau bampar) yang akan mengesan kehadiran sumber cahaya dari kereta lain. Jika ia mengesan tiada sumber cahaya lampu, maka lampu tinggi akan dihidupkan secara automatik. Jika terdapat kereta lain datang dari arah hadapan secara automatik ia akan menurunkan lampu tinggi kepada lampu rendah

Mazda menawarkan fungsi ini melalui pakej keselamatan i-Activesense mereka. Fungsi ini dinamakan sebagai Adaptive LED Headlight akan mengubahsuai sudut pancaran cahaya secara beransur-ansur. Malah berdasarkan pengamatan penulis, jika kita mengekori kereta lain maka ia akan memastikan sudut pancaran cahaya hanya sampai pada bampar belakang kereta sahaja.

Malah dengan teknologi LED, ia membenarkan cahaya disuluh dengan lebih tinggi dan juga bilangan lampu LED boleh dinyalakan secara individu membolehkan lebih banyak lampu dinyalakan jika tiada kereta dari arah hadapan.

Adaptive Front Light System / Lampu Depan Adaptif

Sama seperti Cornering Lamp, sistem ini menawarkan pencahayaan lampu depan berdasarkan input pada roda stering. Namun apa yang membezakannya ialah, Cornering Lamp dipasang secara tetap pada sudut dan lokasi yang dianggap terbaik oleh pengeluar. Cornering Lamp juga menggunakan mentol yang berasingan dengan Lampu Utama. Salah satu sifat cahaya ialah ia hanya bergerak dalam garisan lurus.

Jadi jurutera telah menemui solusi kreatif bagi masalah ini dengan memasang mentol pada satu peranti yang membenarkan mentol mengubah sudut pencahayaan berdasarkan input stering. Jika stering dipusing ke kanan, maka sistem akan mengubah lampu ke arah kanan dan sebaliknya ke arah kiri jika pemandu mengubah stering ke kiri.

Namun dengan bantuan teknologi LED, pelaksanaan sistem ini bertambah mudah.

Kebaikannya ialah, sebaik sahaja pemandu mengubah stering ketika selekoh, cahaya lampu akan sampai terlebih dahulu, memberikan maklumat keadaan jalan pada pemandu dan mengurangkan keletihan mata pemandu pada waktu malam. Berbanding dengan lampu biasa, cahaya hanya akan sampai ke kawasan gelap apabila kereta menghampiri kawasan selekoh. Ciri ini biasa dipasang pada BMW, Mercedez dan juga Mazda.

Puddle Lamps / Lampu Lopak Air

Sebenarnya lampu ini dipasang bukan sekadar untuk menyuluh lopak air. Idea asal lampu ini dipasang ialah untuk menerangi kawasan sekitar tempat parkir agar ia lebih selamat untuk pemandu. Ia akan mengelakkan pemandu terpijak lopak air (mengotorkan kasut) dan mungkin terpijak jerangkap samar yang disediakan oleh kucing.

Biasanya ia dipasang di bawah cermin sisi (kiri dan kanan), pada tombol pembuka pintu dan juga dibawah kemasan pintu depan dan belakang. Apabila pintu dibuka, pencahayaan di bawah pintu tadi akan menerangi permukaan jalan yang akan dipijak oleh pemandu dan juga penumpang. Serius memang tak selesa kalau terpijak najis binatang dan sisa najis dibawa masuk ke dalam kereta.

Side Marker Lights / Lampu Penanda Tepi

Ciri ini direka berfungsi untuk tujuan keselamatan yang dipasang pada bahagian tepi kenderaan yang besar dan panjang. Cahaya yang dihasilkan akan memberi isyarat lokasi pada pengguna jalan raya yang lain agar mudah kelihatan pada waktu malam dan gelap. Ia merupakan ciri yang penting di negara yang mengalami ribut salji dimana pencahayaan adalah penting ketika cuaca buruk

Di Amerika, ciri ini mula diwajibkan pada 1 Januari 1968 pada mana-mana kenderaan yang panjangnya melebihi 2032mm termasuk lori dan bas, MPV, motosikal dan juga kenderaan penumpang. Maka tidak hairanlah Honda Civic FC yang direka oleh pasukan Honda Amerika memiliki ciri ini

Google ads
Back to top button