Artikel PilihanBuletin

35 TAHUN BERSAMA MITSUBISHI, YOSHIYA INAMORI KINI KETUAI BAHAGIAN PEMBUATAN PROTON.

Umum mengetahui bahawa Proton dalam fasa pemulihan semula selepas mendapat rakan strategik baru Geely pada pertengahan tahun ini. Penstrukturan semula syarikat menyaksikan muka-muka “heavyweight” industri automotif mula menduduki posisi pengurusan tertinggi bahagian pengurusan.

Tidak terhenti di situ, Proton juga mendapat khidmat terbaik bagi bahagian operasi. Yoshiya Inamori kini dilantik sebagai Naib Presiden bahagian Pembuatan dan hari ini, pihak media diberi peluang menemuramah tokoh terkenal dari Mitsubishi ini.

Siapakah Yoshiya Inamori?

Senarai pengalamannya cukup panjang. Beliau bermula sebagai jurutera pemasangan di Kilang Mitsubishi di Nagoya Jepun pada 1982. Kemudian, dipindahkan ke Kilang Mitsubishi di Amerika Syarikat pada 1989 sebagai koordinator bahagian produksi.

Empat tahun berikutnya, beliau kembali ke Jepun dan menyambung khidmatnya bersama Mitsubishi, sekali lagi menguruskan bahagian produksi kejuruteraan.

Kemudian pada 2005, Inamori dihantar ke Belanda untuk mengetuai bahagian pembelian di kilang usahasama Mitsubishi-Daimler. Dalam masa yang sama, beliau turut dilantik sebagai Naib Presiden Ekesekutif Mitsubishi Motors Eropah.

BACA: DR LI KINI KETUAI PROTON

Pada kedudukan ini, beliau mendalami teknik latihan bagaimana mengurangkan kos pembuatan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran.

Cabaran paling besar dalam kariernya bila bekerja dengan sekumpulan pengurusan global apabila beliau ditugaskan di Rusia pada 2009. Beliau bertanggungjawab menguruskan produksi SKD (Semi Knock Down) di Rusia dengan logistik yang datang dari Jepun dan Prancis. 

Namun, krisis Ukraine pada 2014 adalah kemuncak di mana kemahirannya benar-benar diuji.

Inamori ditugaskan sebagai Naib Presiden PCMA, sebuah syarikat kerjasama Peugeot dan Mitisubishi Motors di Rusia. Hasil usaha kerasnya, beliau berjaya mengubah syarikat yang bergelut dengan kerugian hingga berjaya membuat untung dalam masa hanya tiga tahun.

INAMORI KINI KETUAI BAHAGIAN PRODUKSI PROTON

Kini, pada usia 59 tahun, beliau ditawarkan untuk mengetuai bahagian produksi di kilang Proton.

Inamori mula berkhidmat sejak dua bulan lepas dan sebagai bekas kakitangan Mitsubishi, hubungan baik Proton-Mitsubishi sebelum ini membolehkan beliau memahami struktur organisasi Proton dengan lebih mudah.

“Tidak banyak beza dengan cara pengeluaran Mitsubishi dan standard industri automotif Jepun. Saya rasa, ia adalah satu kelebihan kerana Proton bermula dengan sistem yang sama, cuma ada beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan di sini,” ujar beliau.

“Proton pernah berada dalam kedudukan yang selesa. Ketika saya melawat Proton 23 tahun dahulu, mereka kuasai 60-70 peratus pasaran, tapi sekarang jatuh sehingga 20 peratus. Adalah biasa bila pengeluar terlalu selesa dan mereka lambat untuk berubah.” tambah beliau bila diminta memberi komen mengenai Proton.

Namun begitu, Inamori yakin dapat memulihkan Proton dalam masa terdekat. Secara optimis, beliau menyasarkan tempoh tiga tahun bagi tujuan pemulihan tersebut.

“Proton adalah sebuah syarikat yang “matang”. Mereka ada kakitangan yang berpengalaman, kakitangan berkemahiran tinggi adalah aset penting untuk sebuah syarikat berdaya saing,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, pada 2014 ketika di Rusia, beliau dipertanggungjawab melatih 3,000 pekerja tanpa kemahiran untuk mendalami teknik pembuatan automotif. Mereka berjaya dan pada 2017 dan kilang PCMA di Rusia kembali mencatat keuntungan.

“Saya sudah meletakkan KPI baru untuk meningkatkan kualiti pembuatan kereta Proton. Dalam masa yang sama, sasaran pengurangan kos sehingga 30 peratus adalah matlamat kami. Ia mungkin tinggi tetapi begitulah cara produksi yang efektif, meletakkan sasaran tinggi membolehkan kita bekerja lebih keras untuk mencapainya,”

Inamori juga yakin, dengan suntikan dana dan kepakaran dari Geely, proses pembangunan semula Proton mampu dipercepatkan.

“Ia tidak mudah, tetapi kami yakin dengan pasukan yang ada, kami mampu mencapainya. Saya sangat optimis tentang itu,”

 

 

Google ads
Back to top button