Buletin

40 PERATUS PENDUDUK AS PERCAYA UFO ADALAH KAPAL ALIEN

Lebih 40 peratus penduduk Amerika Syarikat (AS) percaya objek terbang tidak dikenal pasti (UFO) adalah kapal makhluk asing dan peratusan itu meningkat mendadak sejak 2019.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Gallup antara 6 hingga 21 Julai lalu, 41 peratus percaya sesetengah UFO adalah ‘kapal mahkluk asing dari planet lain’.

Selain itu, hanya separuh daripada penduduk AS percaya penampakan UFO yang tidak boleh dijelaskan boleh dijawab menerusi aktiviti manusia atau fenomena semula jadi.

Peratus golongan yang tidak mempunyai pandangan mengenai UFO juga meningkat kepada sembilan peratus berbanding tujuh peratus pada tahun 2019.

Menerusi kenyataan Gallup memaklumkan, liputan meluas mengenai UFO oleh media tempatan sejak beberapa tahun lalu dan perhatian serius yang diberikan oleh kerajaan menjadikan penduduk AS semakin percaya UFO adalah kapal makhluk asing.

“Ketika kerajaan melihat UFO sebagai ancaman dari kerajaan negara lain, separuh daripada rakyat AS percaya ada kehidupan di planet lain,” jelas kenyataan itu.

Kaji selidik itu dilakukan terhadap 1,007 orang dewasa selama dua minggu selepas Pentagon mendedahkan laporan kontroversi mengenai fenomena penampakan UFO di negara ini.

Dalam kalangan 40 peratus penduduk yang percaya UFO itu adalah kapal makhluk asing, 37 peratus daripada melibatkan pelajar lepasan kolej.

Golongan tersebut disifatkan paling skeptikal dalam mempercayai wujudnya kehidupan di luar bumi.

Selain itu, golongan lelaki lebih mempercayai perkara tersebut berbanding wanita iaitu sebanyak 44 peratus berbanding 34 peratus pada tahun 2019.

Mengikut ketegori umur, penduduk berusia 18-34 tahun dan 35-54 tahun paling banyak percaya Bumi sering ‘dikunjungi tetamu dari planet lain menggunakan UFO’. – UTUSAN

Google ads
Back to top button