Artikel PilihanMotosikal

VYRUS ALYEN – SUPERBIKE UNTUK PASARAN MAKHLUK ASING?

Vyrus, pengeluar motosikal berskala kecil di Rimini, Itali baharu sahaja mendedahkan model terbaru mereka yang dinamakan Alyen. Rekaan Alyen ini memang cukup radikal dan sofistikated berbanding motosikal generasi sekarang. Oleh sebab ia menggunakan enjin Ducati, ia juga mempunyai kuasa yang sepadan dengan rupa parasnya.

Alyen ini merupakan sebuah model edisi terhad dan belum diputuskan makhluk asing jenis mana bakal menjadi sasaran jualan. Mungkin Predator, Gorgon dan mungkin juga UFO New Mexico.

Alyen menampilkan rekaan yang sungguh unik dan memang hanya mampu dilakukan oleh pengeluar dari Itali. Tengok sahaja rekaannya, idea dan material yang digunakan. Semuanya memang membuatkan motosikal ini menonjol dari segenap sudut.

Tempat duduk yang seperti diukir tukang mahir, swing-arm tunggal, enjin naked, rekaan lampu depan dan belakang, menjadikan ia sangat sesuai untuk props filem adiwira.

Kuasanya datang dari enjin keluaran Ducati. Superquadro 1.285cc v-twin yang mampu menghasilkan 205bhp kuasa pada 10,500rpm menjadikan motosikal ini sangat laju bila dipadankan pula dengan kotak gear manual 6-kelajuan.

Casis aluminium ke bang? Haish, makhluk asing tak pandang aluminium dik. Vyrus Alyen ini menggunakan casis double-beam magnesium yang digelar ‘Double Omega Design’ oleh syarikat ini. Magnesium beb casisnya. Bahagian lain seperti bodyparts dan rim pula dihasilkan dari serat karbon. Ambik kau. Ringan dan berkuasa, inilah resipi untuk menghasilkan superbike unggul.

Suspensi depan unik itu memang biasa kita lihat dan merupakan rekaan Ascania Rodorigo yang pertama kali digunakan pada Bimota Tesi 2D pada tahun 2004.

Berdasarkan rupa parasnya sahaja pun, Vyrus Alyen ini memang sudah menempa nama sebagai model wallpaper ataupun poster superbike kegemaran ramai. Rekaan radikal lagi futuristik, material kelas aeroangkasa dan berkuasa tinggi mungkin menjadikan superbike ini bintang di layar perak.

Filem Batman mungkin? Itu dah biasa sangat. Transformers? Bosanlah. Mungkin syarikat Jepun akan buat remake filem manga terkenal mereka, Akira? Barulah ngam.

Tags
Google ads
Back to top button