Buletin

50% PENGUSAHA BAS SEKOLAH GULUNG TIKAR. ADA YANG DILUPUS DI KEDAI BESI BURUK

Dianggarkan hampir 50 peratus pengusaha bas sekolah di negara ini gulung tikar dengan kebanyakannya terpaksa menjual bas serta van masing-masing akibat hilang punca pendapatan berikutan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan berkata, penularan Covid-19 menyebabkan sekolah di negara ini ditutup sejak tahun lalu.

Dia yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor berkata, pembukaan sekolah di beberapa negeri bermula esok dijangka tidak banyak membantu pengusaha bas sekolah di seluruh negara.

Ini berikutan hanya murid di kelas dan tingkatan tertentu sahaja dibenarkan kembali ke sekolah mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di setiap negeri.

“Kira-kira 50 peratus pengusaha bas sekolah di negara kita sudah gulung tikar. Kebanyakannya sama ada sudah menjual bas atau van mereka atau ditarik syarikat kewangan kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

“Kebanyakan pengusaha bas sekolah yang masih bertahan juga belum bersedia untuk beroperasi semula berikutan kekangan kewangan serta modal bagi menyiapkan bas sekolah untuk kembali beroperasi, terutama penyelenggaraan bas dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Permintaan perkhidmatan bas sekolah dari ibu bapa juga tidak menggalakkan kerana bukan semua murid kembali bersekolah bermula esok dan Isnin. Malah isu utama adalah tambang sama ada ia mampu membiayai kos operasi pengusaha berikutan tidak ramai murid kembali bersekolah serta menggunakan khidmat bas sekolah,” katanya.

Pada 13 September lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan menegaskan pembelajaran bersemuka mulai esok dan Isnin ini, dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN.

Sekolah dilaporkan tidak dibuka pada negeri berada dalam Fasa 1 PPN manakala negeri Fasa 2 pula, sekolah rendah hanya dibuka hanya untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala bagi sekolah menengah, dalam Fasa 2, hanya membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua.

Bagi negeri Fasa 3, selain SKPK dan PPKI, murid pra-sekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah. Sementara untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar Tingkatan 5 dan calon STPM yang lain. Manakala bagi negeri Fasa 4 murid dan pelajar akan dibenarkan ke sekolah secara berperingkat.

Pengusaha bas sekolah di Johor Bahru, Hussin Karamdin, 49, berkata dia sudah menjual semua bas sekolahnya bagi menampung kos hidup yang terjejas akibat Covid-19. Terdapat juga pengusaha bas sekolah yang melupuskan kenderaan masing-masing di premis besi buruk dengan harga antara RM4,000 hingga RM8,000 bergantung pada saiz.

“Saya kehilangan pendapatan sejak tahun lalu dan terpaksa menjual ais krim dan kuih muih bagi menampung hidup dan membayar hutang. Sebelum ini saya ada empat bas sekolah dan dua van. Namun sekarang hanya tinggal dua, yang lain sudah dijual bagi menampung keluarga,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bas, Paul Raj, 33, sedang menimbangkan untuk menjual sebuah bas sekolah dan dua van yang dimilikinya.

“Saya kini hanya mengharapkan pendapatan sebagai penghantar makanan dan sudah tidak mampu membayar ansuran pinjaman bulanan, apatah lagi moratarium sudah tamat dan perlu mula membuat bayaran ansuran.

“Walaupun esok sekolah di Johor akan mula dibuka, namun bukan semua murid dan pelajar dibenarkan kembali ke sekolah. Jadi, saya tidak mampu dan tiada modal untuk memulakan kembali operasi berikutan tiada permintaan dari ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button