
LIMOSIN DITUKAR JADI ‘BAS SEKOLAH’.HANTAR MURID KAWASAN KEJIRANAN KE SEKOLAH
Seorang bapa di Ohio, Amerika Syarikat (AS) menjadikan limosin sebagai ‘bas sekolah’ untuk membantu murid di kawasan kejiranannya ke sekolah.
WYSX-TV melaporkan, Sean Rogers Jr memaklumkan limosin itu adalah kepunyaan bapanya.
Sean berkata, idea menawarkan khidmat pengangkutan limosin itu tercetus selepas bas yang sepatutnya membawa anaknya ke Graham Elementary and Middle School pada Jumaat lalu, tidak kunjung tiba.
Masalah itu dipercayai berlaku akibat kekurangan pemandu bas di kawasan itu.
Berikutan itu, Rogers memuat naik hantaran mengenai tawaran itu di Facebook (FB) untuk melihat reaksi ibu bapa yang mahu anak mereka dihantar ke sekolah dengan menggunakan limosin.
Tidak lama selepas memuat naik hantaran berkenaan, Rogers menerima puluhan maklum balas yang berminat mendapatkan khidmat pengangkutan itu dengan seramai 25 murid menaiki limosin untuk ke sekolah pada Isnin.
Jumlah itu meningkat kepada 42 murid pada Selasa.
“Semua orang selalu menyeru supaya kita membantu masyarakat dan menghentikan kekerasan.
“Bagi saya, langkah besar untuk menghentikan keganasan adalah menghantar anak ke sekolah dan bukannya membiarkan mereka ponteng sekolah serta terbabit dengan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, kekurangan pemandu bas dilaporkan di seluruh Ohio.
Penguasa Sekolah Columbus City, Talisa Dixon ketika mesyuarat pada Selasa lalu berkata, pihaknya mencari pilihan pengangkutan alternatif.
“Pasukan kami juga melakukan advokasi di peringkat negeri dalam usaha memberikan perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik. Ini termasuk penggunaan van,” kata Dixon. – NYPOST/HM