SEKOLAH AKAN DIBUKA, TETAPI BAS SEKOLAH TIDAK DAPAT SAMBUTAN
Meskipun kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah mulai 1 Mac ini, pengusaha bas sekolah masih mengeluh kerana perkhidmatan mereka tidak mendapat sambutan daripada ibu bapa.
Pengusaha bas mendakwa, kebanyakan mereka tidak boleh meneruskan operasi. Ini kerana ibu bapa dipercayai memilih untuk menghantar sendiri anak ke sekolah bagi mengelak pergaulan dalam bas.
Malah, ada ibu bapa mungkin membelikan kenderaan untuk anak masing-masing kerana percaya ia lebih selamat berbanding menggunakan bas yang terpaksa bercampur dengan ramai orang.
Ketika pengumuman pembukaan sekolah, ternyata berita itu menggembirakan pengusaha bas. Namun sebaik mendapat reaksi daripada hampir kebanyakan ibu bapa yang tidak lagi mahu menggunakan perkhidmatan bas sekolah, ternyata duka mereka terus berpanjangan.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan (PBSK), Wan Mohamad Nuhairi Wan Hamat berkata, jika hanya beberapa pelajar sahaja mahu menggunakan bas sekolah, semestinya mereka tidak mampu menanggung kos operasi.
Disebabkan tidak mendapat sambutan, mereka tidak membuat sebarang persediaan untuk pembukaan sekolah bermula Isnin ini bagi mengelak terpaksa menanggung rugi.
“Bayangkan untuk buat persediaan termasuk menukar bateri, tayar dan servis kenderaan membabitkan kos ribuan ringgit.
“Jadi, semestinya kami semua tidak mahu mengambil risiko kerugian dengan berbelanja ribuan ringgit, tetapi bas tidak boleh beroperasi,” kata.
Di Kelantan, terdapat 214 pengusaha bas. Akibat pandemik Covid-19 sejak setahun lalu, hampir separuh daripada mereka sudah menjual kenderaan itu kerana tidak mampu menampung kos operasi.
“Kami bayangkan duka yang terpaksa ditanggung sejak setahun lalu berakhir dengan pembukaan sekolah, namun rupanya ia berpanjangan.
“Kami tidak menyalahkan ibu bapa kerana masing-masing mahukan yang terbaik untuk anak mereka,” katanya yang berharap kerajaan negeri tampil membantu mereka. – Harian Metro