Artikel Pilihan

MINYAK ENJIN PERLU DITUKAR SETIAP 6 BULAN? WALAUPUN TAK CUKUP 10,000KM?

Seperti yang kita sedia maklum, minyak pelincir atau minyak enjin perlu ditukar mengikut sela masa yang ditetapkan oleh pengeluar samaada setiap 5000km, 7000km, 10,000km atau 15,000km bergantung pada saranan pengeluar dan jenis minyak enjin yang digunakan.

Sesetengah pengeluar membuat saranan supaya minyak enjin perlu ditukar dengan kerap jika kenderaan dipandu dalam keadaan lasak seperti menunda beban yang berat, dipandu dalam keadaan sesak (stop & go traffic) dengan cuaca panas, atau cuaca terlalu sejuk.

Namun dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, anda akan dapati yang anda banyak bekerja di rumah dan kereta anda semakin kurang dipandu. Secara teori ia bagus untuk anda kerana semakin kurang dipandu, semakin sedikit kos servis yang anda perlu keluarkan. Tapi sebenarnya walaupun kurang dipandu, minyak enjin sekurang-kurangnya perlu ditukar setiap 6 bulan sekali

Kami perkenalkan pada anda satu perkataan baru iaitu “shelf life” iaitu jangka hayat sesuatu produk sebelum ia rosak dan tidak boleh digunakan lagi walaupun komponen tersebut belum pernah dipasang pada kereta. Antara contoh yang senang dilihat ialah tayar dan juga minyak enjin yang memiliki shelf life selama 5 tahun sebelum ia rosak walaupun disimpan dalam botol tertutup.

Minyak enjin akan menjadi rosak disebabkan tindak balas kimia yang berlaku apabila ia terdedah kepada persekitaran. Unsur seperti udara, gas oksigen, haba, cahaya dan juga air akan memendekkan jangka hayat minyak pelincir. Bagi minyak enjin yang belum digunakan, adalah bagus sekiranya ia disimpan dalam bekas tertutup di dalam bilik stor, bukan dibiarkan di bawah garaj kereta

Bagi minyak enjin yang telah dituang dalam enjin, ia akan mulai terdedah kepada semua unsur-unsur di atas sebaik sahaja botol minyak dibuka dan enjin kereta beroperasi. Minyak enjin sebenarnya adalah campuran bahan aditif dengan bahan petroleum ataupun minyak pelincir dihasilkan secara sintetik daripada alkohol.

Selepas beberapa bulan terdedah, bahan aditif ini tidak lagi dapat berfungsi secara efisyen seperti yang dijangka. Bahan pelincir petroleum ataupun sintetik akan menjadi kurang likat berbanding dengan sifat asalnya terutama selepas dicemari dengan unsur hidrokarbon yang ada pada pertol atau diesel serta terdedah kepada air yang terhasil daripada pembakaran

Bagi kenderaan dengan enjin turbo moden, sebaik sahaja alat pengesan menilai kelikatan minyak enjin berada di luar parameter yang ditetapkan ia akan menghantar isyarat peringatan kepada pemilik agar menukar minyak secepat mungkin walaupun perbatuan masih kurang daripada 10,000km.

Bagi enjin lama, anda boleh mengesan minyak pelincir sudah tidak sesuai digunakan dengan melihat kepada perbandingan bau (bau terbakar), warna (biasanya hitam), dan juga kelikatan (cair seperti air). Ketika ini juga pecutan kereta akan terjejas serta penggunaan bahan api akan meningkat berbanding biasa

Satu cara lain bagi memeriksa kualiti minyak pelincir ialah dengan melakukan analisis kimia secara terperinci namun ia akan memakan kos yang bukan murah. Jadi penyelesaian yang paling praktikal dan murah ialah menukar minyak enjin anda setiap 6 bulan walaupun jarang dipandu.

Google ads
Back to top button