
BAS SEKOLAH BLUEBIRD 1970-AN DIUBAH SUAI JADI RUMAH PERCUTIAN
Bas sekolah Bluebird yang digunakan pada tahun 1970-an di Britain diubah suai menjadi rumah percutian dengan konsep retro untuk disewa kepada para pelancong.
Menurut laporan Daily Mirror, bas berkenaan cukup sinonim sebagai pengangkutan bas sekolah di Kanada.
Bas tersebut kini terletak di sebuah tanah pertanian berhampiran ladang anggur di Devon, barat daya England.
Lokasi tersebut juga tidak jauh dari destinasi pelancongan popular seperti Jurassic Coast dan beberapa buah pantai lain.
Bahkan, kedudukan rumah percutian tersebut terletak di kawasan terpencil dan menawarkan pemandangan kampung serta privasi.
Ia berdekatan dengan sempadan Devon, Dorset dan Somerset, sekali gus membolehkan pengunjung untuk meneroka ketiga-tiga daerah itu dengan mudah.
Rumah percutian itu boleh memuatkan dua tetamu serta dilengkapi peralatan seperti ketuhar gas, kotak sejuk termoelektrik, peralatan barbeku, bilik mandi dan sebuah katil berkembar.
Selain itu, bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, ia turut menyediakan sebuah lot parkir malah tidak menyediakan perkhidmatan sambungan internet.
Percutian tujuh malam di rumah bas Bluebird ditawarkan pada harga bermula daripada £356 (RM2,050) dan ia kini diiklankan di holidaycottages.co.uk untuk disewa pada sepanjang musim panas.
“Sebaik melangkah masuk ke dalam bas sekolah yang digunakan pada tahun 1970-an ini, pertama sekali anda akan melihat lampu dan ruang tamu yang cantik.
“Ruang istirehat yang selesa dan ruang makan yang mesra dan santai turut disediakan.
“Jika terus melangkah ke bahagian dalam, anda akan menemui bilik tidur lengkap dengan hiasan dan perabot retro,” tulis iklan tersebut. – agensi