Buletin

LARIKAN BAS SEKOLAH UNTUK PULANG KE KAPAR, BAS TERBABAS DALAM LONGKANG – SUSPEK BERJAYA DITANGKAP

Seorang lelaki ditangkap oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis selepas cuba melarikan sebuah bas sekolah sebelum terbabas ke dalam longkang di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah – Jasin (AMJ).

Ahli keluarga pemilik syarikat bas tersebut, Zaidi Basri, 42, berkata, dia mendapat panggilan daripada bapa saudaranya pada pukul 5.15 petang, memaklumkan bas sekolah kepunyaan bapanya telah dilarikan oleh seorang lelaki.

“Saya bergegas ke lokasi, sebaik tiba saya lihat suspek telah berjaya ditangkap oleh orang ramai dan dikatakan cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” cerita Zaidi sambil menjelaskan bas berusia 20 tahun itu sering diletakkan di stesen minyak berkenaan.

Tambahnya lagi, bas tersebut masih lagi beroperasi dan masih digunakan untuk program-program lawatan sekolah.

Akibat kemalangan berkenaan, bas sekolah tersebut mengalami kerosakan di bahagian cermin hadapan serta tangki minyak.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun saya lega kemalangan ini tidak melibatkan kenderaan lain atau menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Mujurlah bas ini terbabas ke longkang di kiri jalan dan hanya merempuh papan tanda. Sekiranya melibatkan pengguna jalan raya di lampu isyarat berhampiran, keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, suspek merupakan seorang penganggur dan berasal dari Kapar, Selangor.

Hasil soal siasat mendapati bahawa suspek melarikan bas sekolah tersebut kerana ingin pulang ke Kapar selain mempunyai rekod jenayah sebelum ini, cubaan melarikan kereta pada tahun 2013.

Suspek direman tiga hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. – Kosmo!

Google ads
Back to top button