Artikel PilihanBuletin

#6 PERKARA PENTING SEBELUM ANDA BUAT KEPUTUSAN BELI KERETA TERPAKAI

Industri kereta terpakai sememangnya lembab sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Banyak kedai yang gulung tikar. Antara faktor jelasnya ialah kemudahan membeli kereta baru dengan pelbagai pakej menarik. Anak-anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan misalnya, lebih cenderung membeli sebuah Myvi atau Saga baru berbanding mengumpul wang membeli tunai sebuah Wira atau Waja terpakai. Ini realiti.

Sama ada membeli kereta baru atau terpakai, masing-masing ada pro dan kontra. Bergantung kepada kemampuan atau keperluan. Pada kami, membeli kereta terpakai masih lagi pilihan yang baik untuk orang yang mementingkan komitmen.

Ingat, sebaik sahaja menandatangani perjanjian jual beli, anda sudah bersetuju untuk mengikat janji membayar sejumlah wang setiap bulan tanpa gagal. Tak kiralah bulan tu gaji kena potong ke, megi naik harga ataupun kereta rosak kena repair dan perlu belanja tambahan.

BACA – KERETA KLON, AWAS! JANGAN TERTIPU.

BACA – 5 KERETA TERPAKAI PILIHAN KATEGORI EKSEKUTIF

Semua kakitangan di Mekanika pernah membeli kereta terpakai, kereta baru, kereta recond dan kereta lelong. Kami juga pernah membeli secara terus daripada atas tangan pemilik dan beli di used car. Setelah memasuki julat umur warga emas, kami rasa perkara yang perlu dikongsikan bersama pembaca tentang apa yang kami tahu berdasarkan pengalaman sebelum ini.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (7)

1. KONDISI

Ini adalah kata kunci yang paling penting. Maksud kami sangat penting sebab segalanya bermula dari sini. Ya. Kami faham anda mungkin tiada pengalaman memeriksa kereta secara teliti. Itulah pentingnya bawa kenalan atau mekanik yang arif tentang kondisi kereta.

Periksa bahagian badan terlebih dahulu. Jika kereta pernah kemalangan teruk, dibaiki macam mana pun tetap pengendaliannya ke laut. Perlu diingat, kereta-kereta begini sangat banyak di pasaran dan pembeli amatur adalah mangsa mudah. Kereta banjir pun satu masalah juga.

Periksa bahagian tersembunyi yang sukar dilihat mata kasar seperti di bawah pelapik bonet belakang, sekeliling getah pintu dan bawah karpet lantai. Bahagian cantuman (joint section) seperti fender kepada kerangka, pillar kepada kerangka seharusnya perlu kemas catatan rivet, tiada kesan buka pasang dan warna cat mesti sekata. Mereka yang mahir mesti dapat membezakan cantuman yang dibuat di kilang berbanding kerja kimpalan mekanik bawah pokok. Itulah perbezaan kerja tangan manusia dengan tangan robot.

Periksa bahagian mekanikal supaya semuanya berfungsi. Nampak remeh tetapi JANGAN sesekali abaikan. Melainkan anda seorang kaki DIY dan mampu baiki sendiri kerosakan kecil. Pastikan semua tingkap kuasa berfungsi, lampu, indikator penting pada paparan meter dan ABS. Tapi janganlah minta jurujual uji airbag pulak, nampak sangat kau tak reti.

PAKEJ MENARIK MITSUBISHI TRITON 2015

2. PANDU UJI

Ini langkah kedua yang penting. JANGAN sesekali beli kereta tanpa pandu uji sebab mata kita mungkin menipu. Sebelum pandu uji, hidupkan enjin kereta dan biarkan melahu 10 hingga 15 minit. Uji tahap kesejukan penghawa dingin, tengok radiator cukup sifat ke tidak, cuba telek bahagian bawah enjin kalau-kalau ada lelehan pelincir atau cecair kotak gear.

Waktu enjin melahu dan masih sejuk, tekan brek dan cuba masukkan gear “R” dan “D” untuk kereta automatik. Bagi kereta manual, masukkan kesemua gear dan pastikan gear ini terkunci sewaktu tuil dimasukkan. Kereta yang bermasalah kotak gear biasanya dia buat bodoh saja kalau anda masukkan gear waktu enjin sejuk. Bila dah panas baru gear terkunci. Ini petanda masalah besar, jangan maki jurujual tersebut. Pergi cari kereta lain lah.

Jika semuanya okay-okay saja, sila lihat indikator suhu dan pastikan kipas radiator berpusing baru mulakan perjalanan. Ketika memandu, teliti bunyi-bunyi pelik terutamanya pada bahagian transmisi. Selain itu, dengar bunyi yang mungkin kedengaran seperti rak stereng yang haus, absorber yang dah hampir meninggal dunia dan seretan brek. Ini adalah benda-benda pakai lusuh, cuba bincang dengan jurujual kalau boleh diganti baru atau dibaiki.

ETCM-Raya-promotion-mekanika (2)

3. UTAMAKAN KERETA DENGAN REKOD SERVIS

Jika ia adalah satu pilihan, maka kami sarankan anda memilih kereta yang ada rekod servis buku log. Waktu dibeli baru, setiap kereta dibekalkan dengan buku rekod yang ditandakan oleh pusat servis setiap kali kereta diselenggara.

Perlu diingatkan kebanyakan kereta baru hari ini disertakan dengan servis penyelenggaraan percuma. Jadi, setiap rekod servis ini akan dicatat. Apa yang telah diganti dan tahap mana perbatuan perjalanannya direkodkan.

Tak mengapa kalau tiada rekod servis sebab sesetengah pemilik mungkin lebih arif dengan kepakaran mekanik luar. Pemilik yang bagus akan menyimpan bukti resit servis dan setiap pembaikan yang telah dibuat.

Geran-VOC-JPJ-mekanika (2)

4. PERIKSA DOKUMEN

Nah. Ini lah ramai yang abaikan. Minta jurujual tunjukkan geran asli. Pastikan setiap perincian dalam spesifikasi adalah tepat tanpa pindaan. Cuba lihat bahagian kolum nombor enjin dan casis dan pastikan ianya sama dengan kereta yang hendak anda beli.

Di bawah kolum spesifikasi ada kolum kecil yang biasanya ditulis dengan “hakmilik dituntut oleh bank cekik darah bla bla bla”, pastikan ia telah dicop sebagai “DIBATALKAN” oleh pihak JPJ. Selain itu, pastikan tiada SEKATAN.

Sesetengah kereta mempunyai batasan tukaran milik seperti kereta import bukan AP terbuka khususnya kereta yang diimport masuk secara persendirian oleh pelajar/pekerja luar negara yang tak boleh dipindah milik dalam masa 24 bulan dari tarikh didaftarkan.

Ada sesetengah kereta yang diberi perlepasan tertentu oleh JPJ dan ia tertakluk di bawah sekatan tadi. Kereta-kereta ini biasanya tidak boleh dipindah milik langsung.

harga_myvi_mekanika

5. SEBUT HARGA BERTULIS

Minta sebut harga RASMI dan BERTULIS sebelum membayar sebarang wang tempahan. Ini penting ketika anda berurusan dengan kedai used car. Pastikan ia disahkan oleh peniaga tersebut dan bukannya setakat level jurujual. Salesmen kereta bukan semuanya kerja tetap di satu-satu tempat. Mereka mungkin broker yang menjadi orang tengah membawa anda sebagai pembeli.

Pastikan sebut harga tersebut ditulis jelas tentang setiap item. Misalnya, harga kereta, yuran pemprosesan, insuran, cukai jalan, kos tukar nama, pemeriksaan puspakom, sewa cermin (jika ada) dan upah runner. Pastikan juga kos GST dimasukkan sekali dan ditulis dengan JELAS dan TERANG. Dapatkan harga terakhir setelah semuanya dikira. Harga ON THE ROAD adalah penentu kereta itu berbaloi dibeli atau sebaliknya.

Saya pernah jumpa sebuah kedai yang letakkan harga murah dari kedai lain, tapi bila semak semula yuran pemprosesannya memang rasa nak karate tiang kedai itu. “Processing fee” saja dia telan RM2,500. Gila. Dah boleh beli EX5 sebiji.

Kalau dah berpuas hati, barulah bayar deposit dan minta RESIT bayaran. Pastikan klausa perjanjian yang adil. Misalnya jika pinjaman ditolak bagaimana? Perlu dipulangkan deposit? Ditolak 10 peratus?

6. PELEPASAN TANGGUNGAN

Selepas langkah-langkah di atas semuanya berjalan lancar dan pinjaman diluluskan, tibalah masanya anda mengambil kereta. Mesti tak sabar nak bawa balik Kodiang kan? Nanti dulu. Sebelum berpindah kunci, membayar baki deposit dan menandatangani perjanjian bank, periksa semula sebut harga tadi supaya tiada apa yang ditambah.

Jika ada menjual kereta (trade in) kepada kedai tersebut, sila pastikan SEBUT HARGA asal diperoleh secara bertulis. Ni tidak, masa nak trade in cakap RM20K, bila dah nak ambil kereta baru jadi RM19K.

KESIMPULAN

Membeli kereta terpakai memerlukan pengetahuan supaya anda benar-benar dapat harga yang berbaloi dengan wang dibayar. Kami pernah senaraikan kereta keluarga paling bernilai dengan harga di bawah RM5,000. Ia masih pembelian berbaloi untuk mereka yang berbajet kecil.

Antara cara lain yang lebih jimat ialah membeli secara terus dari pemilik asal. Anda boleh semak di laman web seperti mudah.my, motortrader dan carlist.my. Berurusan sendiri dengan pemilik kereta menghilangkan kos-kos seperti yuran pemprosesan dan GST. Ia mungkin sedikit leceh sebab semuanya perlu dibuat sendiri, tetapi matematik akhirnya anda tetap dapat berjimat banyak.

Tags
Google ads
Back to top button