Artikel Pilihan

5 PERKARA TARIK PERHATIAN PENCURI KERETA – JANGAN SAMPAI JADI MANGSA GAIS

Curi kereta merupakan satu daripada jenayah klasik yang sukar dibendung. Semakin canggih sistem keselamatan kenderaan semakin canggih juga peralatan yang digunakan oleh pencuri. Jadi cara terbaik selain menggunakan sistem keselamatan ialah langkah-langkah yang diambil oleh pemilik itu sendiri. Ini adalah lima perkara yang selalu diperhatikan pencuri sebelum memulakan langkah mereka. Harap ia boleh membantu anda agar lebih berhati-hati.

Barangan Berharga Yang Terdedah

Meninggalkan barangan berharga di dalam kereta memang macam dah mengundang pencuri la. Apatah lagi jika ia ditinggalkan dalam keadaan terdedah seperti di atas tempat duduk. Itu memang jekpot la bagi penyangak-penyangak. Barangan seperti beg tangan (walaupun tak ada duit), komputer riba, telefon tangan dan lain-lain memang menjadi sasaran utama pencuri. Tak ada masalah untuk mereka memecahkan tingkap atau cermin kereta anda sebab itu bukan harta mereka pun.

Jadi kalau nak tinggal barangan berharga tu, sorok la sikit. Letak dalam bonet ke, dalam glove box ke janji jangan main tinggal macam tu je. Lagi satu tinted belakang tu bagi la gelap sikit. Kan peraturan dah benarkan pemasangan cermin gelap di bahagian belakang. Ini sekali tengok dah macam cermin akuarium.

Pilihan Tempat Pakir dan Pencahayaan

Tanyalah pencuri mana pun di dunia ni mereka memang tak suka bekerja dalam keadaan terang (kecuali yang mencuri stail pecah amanah, tu kes lain). Pencuri hati pun tak kira okey. Pastikan kenderaan kia semua diletakkan di kawasan yang terang dan tidak terlindung.

Lagi bagus kalau ia berada dalam jangkauan liputan kamera litar tertutup. Pencuri ni memang anti betul dengan CCTV. Jangan main tinggal je kereta merata-rata dengan alasan ada perlindungan insuran. Itu kita panggil tawakal bodoh.

Pintu dan Tingkap Tidak Berkunci

Agak mengejutkan kerana ada juga kecurian berlaku kerana pemilik lupa mengunci pintu dan menaikkan cermin tingkap kenderaan mereka. Kalau nak tinggal sekejap pun jangan lupa tutup dan kunci. Sistem penggera tu jangan lupa hidupkan sekali. Takkan la nak tekan butang pun malas weh.

Lupa nak cakap, kereta abang kalu tekan butang alarm semua tingkap akan naik secara automatik tau. Kereta apa? Carilah sendiri ha ha.

Eksploitasi Sistem Bebas Kunci

Sistem bebas kunci ataupun keyless memang memudahkan namun di Eropah ia memang memudahkan kerja pencuri kereta kerana mereka boleh menggunakan peralatan khas untuk mengesan isyarat dari kunci kereta anda dan menggunakannya untuk mematikan sistem penggera sekaligus menghidupkan enjin dan melarikan kereta anda.

Cara mengatasinya ialah dengan meletakkan kunci di dalam bekas khas yang mampu menghalang gelombang wi-fi. Ada juga yang meletakkannya dalam kertas kerajang aluminium (kira teknik bajet la ni).

Elakkan dari meletakkan kunci keyless berhampiran pintu ataupun tingkap kerana dikhuatiri pencuri mahir mampu mengesan isyarat yang dipancarkan oleh kunci tersebut.

Ketiadaan Sistem Keselamatan Tambahan

Sistem keselamatan asal dari kilang memang diakui cukup baik tapi tiada salahnya untuk menambah peralatan ataupun perisian tambahan. Contoh paling mudah ialah kunci stereng, sistem penggera aftermarket ataupin sistem pengesan GPS.

Immobiliser juga merupakan pilihan yang bijak untuk melindungi kenderaan anda. Tak payah terang la pasal immobiliser ni. Bangsa Mekanika ni semua terer dah dengan benda-benda macam ni.

Itulah lima perkara yang diberi perhatian oleh pencuri sebelum mencuri ataupun memecah masuk kereta anda. Ikut panduan yang diberikan kemudian berserah dan berdoa kepada Alaah SWT supaya harta benda kta dilindungi. Itulah cara yang sebaik-baiknya.

Google ads
Back to top button