Buletin

UBAH MAKLUMAT PADA GERAN, SYARIKAT JUAL KERETA TERPAKAI DIDENDA RM30K 

Sebuah syarikat jual beli kenderaan terpakai di negeri ini dikesan melakukan penipuan dengan mengubah maklumat tahun buatan pada setiap gambar sijil pendaftaran kenderaan yang ditawarkan untuk dijual melalui platform jual beli kenderaan dalam talian.

Taktik itu digunakan bagi mengaut keuntungan yang lebih besar kerana menjual kenderaan yang telah susut nilai pada harga pasaran semasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Normaswari Nordin berkata, salah laku syarikat jual beli kenderaan terpakai itu dikesan hasil aduan pengguna yang mendakwa tertipu dengan transaksi jual beli kenderaan yang diiklankan di salah satu platform jual beli kenderaan dalam talian terkenal.

Justeru, KPDNHEP Pahang telah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat tersebut dengan mengeluarkan kompaun RM30,000.

“Siasatan ini mendapat kerjasama baik daripada pihak penyedia tapak iklan jual beli kenderaan dalam talian terlibat di mana mereka juga telah menurunkan semua iklan daripada syarikat itu.

“Tindakan ini diharap dapat dijadikan pengajaran kepada syarikat itu agar lebih telus dalam berurus niaga, sekali gus dapat mendidik para peniaga lain menjadi lebih beretika,” katanya.

Normaswari Nordin berkata, perbuatan memalsukan maklumat adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999

Sepanjang tahun lalu, KPDNHEP Pahang telah menerima 300 aduan melibatkan urus niaga dalam talian. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button