
TIPS UNTUK SELAMAT SEMASA MEMANDU – KESELAMATAN DIUTAMAKAN
Berdasarkan pertambahan jumlah kenderaan saban hari, sangat penting untuk kita kekal fokus semasa memandu untuk mengelakkan kemalangan. Kemalangan bukan hanya mengakibatkan kerugian harta benda, malah kadang kala menyebabkan kerugian masa dan kematian. Mintak dijauhkan semua tu dan ini ada beberapa tips yang kami rasakan penting untuk memastikan pemanduan kita kekal selamat.
Teknik Pemanduan Defensif
Pernah dengan kan? Tapi apa pemanduan defensif ni? Ia merupakan kemampuan kita untuk mengesan kemungkinan yang bakal terjadi dan langkah yang diambil untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

Pemandu yang defensif sentiasa peka dengan pengguna jalan raya lain, mengetahui kedudukan kenderaan yang dipandu di kalangan kenderaan lain dan sentiasa peka dengan keadaan jalan di hadapan.
Teknik pemanduan defensif termasuklah:
- Memahami jarak brek yang selamat dan sentiasa mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan lain.
- Patuh halaju setiap masa.
- Faham maksud tanda-tanda di jalan raya.
Faktor Tumpuan dan Keletihan
Memandu dalam keadaan tidak fokus adalah paling berbahaya. Ia meletakkan anda dan pengguna kenderaan lain dalam keadaan tidak selamat.
Kehilangan fokus biasa berlaku akibat:
- Penggunaan telefon mudah alih (walau pun dengan kit bebas tangan)
- Makan dan minum
- Perbualan dengan penumpang (terutama yang baru nak bercinta)
- Bergelut untuk mengawal anak ataupun binatang peliharaan
- Menukar stesen radio atau menggodek sistem infotainment
- Memakai mekap, membetulkan rambut ataupun melihat wajah sendiri pada cermin pandang belakang
- Menyalin pakaian sambil memandu (ada ke yang buat selain Mr Bean?)

Jadi kalau nak elak semua tu pastikan semuanya tersedia sebelum memulakan pemanduan. Pilih lagu siap-siap. Mekap dan rambut kemaskan dari awal, masukkan destinasi pada sistem GPS, simpan telefon dan pesan pada penumpang yang anda sedang masuk ke mod pemanduan yang serius.
Keletihan pun jangan main-main. Rehat dulu secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Kalau perjalanan tu jauh jangan lupa berhenti rehat setiap dua jam sekurang-kurangnya. Keluar ambil udara segar, minum secawan kopi jantan ataupun buat sedikit senama regangan sebelum mula memandu kembali.
Kepentingan Penyelenggaraan Kenderaan
Ini semestinya mesti diambil berat sebelum memulakan perjalanan. Apa gunanya pemandu yang sihat dan mempunyai badan yang berketak-ketak kalau kenderaan yang dipandu dalam keadaan nazak.

Kalau malas sangat nak periksa sendiri hantar sahaja ke pusat servis yang berdekatan. Jangan nak jimat sangat untuk keselamatan kita semua.
Kenal Pasti Keadaan Jalan dan Cuaca
Ini pun penting weh. Kalau jalan yang tak biasa lalu tu jangan la asyik dok tekan minyak. Mana tahu ada selekoh tajam ke? Kawasan binatang liar ke? Itu semua kena ambil kira.

Cuaca pun memainkan peranan semasa memandu. Takkanlah masa hujan lebat nak tekan minyak sampai 300 kmj walaupun sedang memandu GR Axia X. Itu belum kira halangan lain seperti kemalangan atau pun pokok tumbang yang mungkin berlaku di hadapan anda.
Keseimbangan Pemikiran dengan Teknologi Keselamatan
Walaupun kenderaan sekarang dilengkapi dengan ciri keselamatan moden seperti ABS, EBD, ASR, ADAS, kamera perakam pintar dan macam-macam lagi, itu semua bukan jaminan kalau anda memandu macam tertinggal otak kat rumah.
Kadang-kadang sikap kita sendiri yang perlu diubah. Pesanan ini juga untuk abang sendiri.





