SEMUA YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MEMANDU DALAM BANJIR DAN HUJAN LEBAT
Sekarang dah tiba musim tengkujuh di negara kita dan jika anda berada di sebelah Pantai Timur, nak tak nak pun kena juga memandu untuk mencari barang keperluan. Bagi pemandu baru mungkin ada yang menggelabah bila terpaksa meredah air banjir tapi ada juga yang terlebih teruja. Itu yang bahaya tu. Jadi kami kongsikan di sini beberapa langkah untuk memandu dengan lebih selamat dalam musim tengkujuh ni.
Memandu dalam hujan lebat
Kalau kena caranya tak ada la stress sangat memandu dalam hujan ni. Ikuti panduan di bawah dan jaga jarak dengan kenderaan lain, Insya Allah selamat.
- Nyalakan lampu kenderaan anda. Tak payah nak kedekut sangat untuk pasang lampu. Bil elektrik tak akan meningkat pun. Kalau kat AS, tidak menyalakan lampu dalam keadaan cuaca semakin gelap adalah satu kesalahan.
- Nyalakan lampu kabus tapi ia mesti segera dipadamkan bila pencahayaan semakin baik. (Pemandu Toyota VIOS sila ambil perhatian!!!).
- Gandakan jarak anda dengan kenderaan di hadapan sekali ganda berbanding hari panas. Jarak henti kenderaan makin jauh dalam keadaan basah.
- Kalau stereng terasa ringan akibat aquaplaning, lepaskan pedal minyak perlahan-lahan dan kurangkan kelajuan anda.
- Jika enjin kenderaan anda tiba-tiba mati, jangan buka penutup enjin. Air hujan akan membasahkan komponen elektrik dan menyukarkan proses menghidupkan kembali enjin.
- Kalau hujan terlalu lebat berhenti di tempat yang selamat sehingga reda.
Meredah air banjir
Kalau boleh elak kawasan banjir lagi bagus tapi kalau terpaksa juga ikuti langkah di bawah:
- Elakkan kawasan air bertakung
- Jangan meredah air melebihi 4 inci melainkan anda memandu 4×4 yang lebih tinggi.
- Biarkan kenderaan dari hadapan melepasi kawasan banjir terlebih dahulu.
- Pandu dengan perlahan tapi stedi dengan kelajuan sekitar 6kmj untuk mengelakkan alunan ombak.
- Gunakan gear paling rendah dengan RPM yang agak tinggi.
- Pastikan anda sentiasa bergerak dan elakkan berhenti di dalam air banjir.
- Uji brek anda sebaik melepasi kawasan berair.
- Air mengalir adalah sangat berkuasa. Jangan cuba-cuba melepasinya untuk mengelakkan risiko hanyut.
Sesetengah laluan mempunyai penanda aras ketinggian air. Gunakannya sebagai panduan sewaktu memandu. Kalau rasa tak boleh lepas jangan cuba sama sekali.
INGAT! Memandu dengan laju sambil meredah air banjir adalah sangat merbahaya, tidak bertimbang rasa dan biasanya berakhir dengan kerugian wang ringgit. Tak perlu banyak pun kuantiti air untuk merosakkan enjin kenderaan anda.
Jadi hati-hatilah walaupun anda memandu kenderaan 4×4 loan 9 tahun dengan bayaran bulanan RM5000 sebulan. Sekali rosak jahanam poket ooo.