
ADA BENGKEL HANYA ‘SEMPURNA’ KETIKA PERBAHARUI LESEN – JPJ KELANTAN
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan terdapat bengkel pembaikan kenderaan kemalangan yang mendaftar dengan agensi berkenaan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk dalam aspek keselamatan dan pengurusan bahan buangan.
Sebaliknya, bengkel berkenaan hanya kelihatan sempurna dengan segala persediaan teratur ketika mahu memperbaharui lesen dengan JPJ yang memerlukan pemeriksaan di premis terbabit.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, segelintir bengkel dikesan menggunakan modus operandi berkenaan.
“Bengkel berkenaan hanya kelihatan sempurna setiap kali mahu memperbaharui lesen kerana sedar setiap kali proses berkenaan, JPJ akan turun padang melihat premis terbabit sama ada mematuhi peraturan atau sebaliknya.

“Ketika itu keadaan bengkel adalah sempurna sedangkan ada segelintir bengkel bukannya sebagaimana seperti itu pada waktu lain apabila kita mengesan mereka mengabaikan aspek keselamatan.
“Ada bengkel kita dapati pekerja membuat kerja-kerja kimpalan sambil merokok dan keadaan itu jelas sangat berbahaya. Ada juga bengkel kita dapati mengambil ringan aspek bahan buangan termasuk minyak pelincir. Tindakan ini nampak kecil namun kesannya adalah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan operasi di salah sebuah bengkel pembaikan kenderaan kemalangan di sini, hari ini.
Jelasnya, bagi mengelak tindakan itu berulang, pihaknya julung kali melaksanakan pemeriksaan mengejut membabitkan 33 bengkel yang berdaftar dengan JPJ.
Katanya, menerusi operasi yang dijalankan selama tiga hari sehingga hari ini, sebanyak enam bengkel diperiksa dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), manakala 27 bengkel lagi diberi surat peringatan tentang peraturan yang perlu diikuti.
“Sebelum ini kita hanya melakukan pemeriksaan setiap kali bengkel terbabit mahu perbaharui lesen, namun kali ini kita membuat pemeriksaan mengejut tanpa mengira masa.
“Hasil pemeriksaan mengejut, kita dapati bengkel berkenaan melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE), pengurusan bahan buangan berjadual tidak sistematik dan tiada pengusaraan yang sempurna.
“Kita memberikan mereka notis bagi menjawab dalam tempoh dua minggu dan untuk kali ini, tiada tindakan diambil memandangkan tempoh advokasi, namun selepas ini tindakan tegas akan diambil.
“Tujuan kita melakukan pemeriksaan ini bagi memastikan semua bengkel swasta mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagaimana yang dilakukan pusat servis seperti Honda dan Perodua,” katanya. – Harian Metro









