
ISUZU SERAH 10 UNIT TRAK ELF NPR PRO KEPADA SERVAY EVERGREEN DI SABAH DAN SARAWAK
Servay Evergreen Sdn Bhd (Servay Evergreen), rangkaian pasar raya dan gedung serbaneka terkemuka dengan lebih 80 cawangan di seluruh Sabah dan Sarawak, baru-baru ini menerima 10 unit trak baharu Isuzu ELF NPR PRO 85UKL Euro 4 (NPR85UKL) daripada WMM Ventures Sdn Bhd, pengedar rasmi Isuzu di Malaysia Timur.
Majlis simbolik penyerahan trak diadakan di Pusat Pengedaran Servay Evergreen, menandakan langkah baharu dalam pengembangan operasi syarikat.
Berasal dari Kota Kinabalu, Servay Evergreen memulakan perjalanan perniagaannya lebih 20 tahun lalu dengan pasar raya pertama di Miri.
Sejak itu, syarikat tempatan ini berkembang pesat, menguruskan pelbagai cawangan pasar raya besar dan kecil, serta memperluaskan perniagaan ke sektor pengangkutan, perhotelan dan pembangunan hartanah.

Trak ELF NPR PRO 85UKL diperkasakan dengan enjin kompak yang mampu menghasilkan tork maksimum 354Nm pada 1,500rpm.
Teknologi Pemangkin Pengoksidaan Diesel membantu mengurangkan pelepasan Karbon Monoksida (CO), Hidrokarbon (HC) dan Bahan Zarah (PM), menjadikannya pilihan mesra alam dan cekap dari segi kos operasi.
Dari aspek keselamatan, trak ini dilengkapi Beg Udara SRS dengan tali pinggang keledar ‘pretensioner’, Sistem Brek Antikunci (ABS) serta Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) untuk brek lebih seimbang.
Lampu hadapan LED tahan lama pula meningkatkan penglihatan waktu malam, sekali gus memudahkan pemanduan lebih selamat.
Reka bentuk badan trak yang luas membolehkan penghantaran muatan lebih banyak setiap perjalanan, mengurangkan kos bahan api dan menjadikan operasi logistik syarikat lebih efisien.
- BACA: ZEEKR 8X BAKAL GEGARKAN PASARAN: SUV MEWAH BERGAYA ROLLS-ROYCE, KUASA 1,381HP!
- BACA: STARIA ALL-STAR REFERRAL PROGRAMME: HYUNDAI TAWAR PENJIMATAN HINGGA RM1.5K
- BACA: HYUNDAI IONIQ 5 N DAN IONIQ 6 N MASUK PASARAN MALAYSIA SUKU KEDUA TAHUN INI
- BACA: KOS TERLALU TINGGI, TREM ART DI PUTRAJAYA TIDAK DITERUSKAN



