Buletin

SUZUKI ACROSS BAHARU MUNCUL DI EROPAH, ‘KEMBAR’ TOYOTA RAV4 DENGAN KUASA PHEV 300HP

Suzuki sekali lagi mencuri perhatian di Eropah apabila memperkenalkan SUV terbaharunya, Across, yang secara terang-terangan dianggap setanding dengan Toyota RAV4.

Malah, dakwaan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana model ini pada asasnya merupakan “kembar” kepada RAV4, lengkap dengan teknologi plug-in hybrid yang sama, cuma dibalut dengan identiti Suzuki.

Berbanding generasi sebelum ini yang mempunyai wajah hadapan sedikit berbeza hasil inspirasi daripada Toyota Wildlander versi China, Across baharu kini lebih jelas menyerupai RAV4 Adventure. Di Amerika Syarikat, varian tersebut dikenali sebagai Woodland Edition.

Suzuki memilih untuk tidak menawarkan varian seperti Core atau GR Sport sebagaimana dalam barisan RAV4, sebaliknya terus menumpukan kepada gaya Adventure yang lebih lasak.

Keputusan ini juga memudahkan perubahan rekaan kerana gril baharu membolehkan logo Suzuki yang lebih besar dipasang tanpa perlu rombakan besar.

Disebabkan ia hampir salinan satu-ke-satu, aksesori yang sesuai untuk Toyota RAV4 juga boleh digunakan pada Suzuki Across tanpa masalah.

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,600mm panjang dan dipadankan dengan rim 18-inci berwarna kelabu gelap. Pilihan warna luaran pula ringkas dengan hanya empat tona ditawarkan iaitu;

  • Massive Gray
  • Ever Rest
  • Super White
  • Attitude Black

Masuk ke ruang kabin, suasana dalaman kekal sepenuhnya ala Toyota, kecuali lencana Suzuki pada stereng. Antara kelengkapan standard termasuk paparan meter digital 12.3-inci, head-up display, skrin infotainmen 12.9-inci, pengecas telefon tanpa wayar, lima port USB-C serta pakej lengkap sistem bantuan pemandu moden.

Seperti model terdahulu, Across hanya ditawarkan dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid, tanpa pilihan hibrid biasa seperti yang terdapat pada RAV4.

Gabungan enjin petrol 2.5 liter bersama dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 300hp. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi E-CVT serta sistem pacuan semua roda E-Four. Pemandu turut boleh memilih mod pemanduan Normal, Eco, Sport dan E-Four Trail.

Suzuki masih belum mengumumkan jarak perjalanan rasmi WLTP, namun Toyota RAV4 PHEV versi Eropah mampu mencapai sehingga 100km dengan sekali cas menggunakan bateri 22.7kWh.

Dari segi prestasi, Across mencatat pecutan 0-100km/j dalam 6.1 saat, sedikit perlahan berbanding RAV4 yang mencatat 5.8 saat di atas kertas.

Suzuki Across baharu telah membuat kemunculan sulung di Belanda dan dijangka memasuki pasaran Eropah lain dalam tahun ini.

Harga masih belum diumumkan, namun model ini bakal bersaing dengan beberapa SUV popular seperti Honda CR-V, Subaru Forester, Mitsubishi Outlander, Nissan X-Trail, Peugeot 5008, Skoda Kodiaq dan Volkswagen Tayron.

Menariknya, Suzuki juga melancarkan satu lagi Across di Seychelles, namun model itu sebenarnya SUV berbeza sepenuhnya kerana ia adalah versi rebadge Maruti Suzuki Victoris yang lebih kecil.

Google ads
Back to top button