Buletin

HONDA MALAYSIA BAKAL PERKENALKAN ENAM MODEL BAHARU, TEKNOLOGI HIBRID S+ SHIFT

Honda Malaysia mengorak langkah lebih agresif bagi tahun 2026 apabila mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan enam model baharu, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran automotif tempatan.

Seiring hala tuju perniagaan semasa, syarikat itu turut menetapkan sasaran asas jualan sebanyak 60,000 unit, berdasarkan keyakinan terhadap permintaan pengguna yang terus berubah, trend pasaran semakin berkembang, serta komitmen Honda terhadap pertumbuhan mampan dan berteraskan nilai.

Strategi utama Honda Malaysia bagi tahun hadapan kekal berteraskan falsafah “Fun to Drive”, iaitu pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan lebih bermakna kepada pelanggan.

Fokus ini disokong melalui prestasi pemanduan yang responsif, teknologi canggih serta penawaran produk yang disesuaikan dengan keperluan rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata semangat “Fun to Drive” melambangkan usaha Honda untuk menghasilkan kenderaan yang bukan sahaja praktikal, tetapi turut mencetuskan hubungan emosi dengan pemandu.

Menurutnya, sebuah Honda bukan sekadar alat pengangkutan, sebaliknya membawa rasa keterujaan sebaik sahaja seseorang melangkah masuk ke dalam kabin dan menikmati keseronokan memegang stereng di jalan raya.

“Perasaan ini adalah elemen yang telah diterapkan Honda dalam setiap model sejak awal penubuhannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Honda Malaysia turut mengumumkan pengenalan teknologi baharu S+ Shift buat pertama kali, yang direka bagi meningkatkan keterlibatan pemandu serta menjadikan setiap perjalanan lebih dinamik dan memuaskan.

Yazaki menjelaskan bahawa teknologi ini merupakan contoh jelas bagaimana Honda terus tampil dengan pendekatan berbeza untuk mereka yang menghargai pengalaman pemanduan sebenar.

Sebagai tambahan, syarikat itu juga merancang untuk memperluas barisan kenderaan e:HEV, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai gabungan prestasi seimbang dan kecekapan teknologi hibrid terkini Honda.

Google ads
Back to top button