Advertisements
Buletin

TESLA LABUR RM13.5 BILION UNTUK BANGUNKAN KILANG CYBERCAB DI JERMAN

Tesla merancang pelaburan sebanyak AS$3.3 bilion atau kira-kira RM13.5 bilion bagi memperluaskan operasi kilangnya di Gruenheide, berhampiran Berlin, Jerman, dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran teksi robot autonomi Cybercab.

Pelaburan itu merangkumi pembinaan sebuah fasiliti pengeluaran baharu yang berpotensi menjadikan kilang Tesla di Jerman sebagai kompleks pemasangan automotif terbesar di negara berkenaan berdasarkan kapasiti pengeluaran, mengatasi kilang utama Volkswagen di Wolfsburg.

Langkah tersebut dilihat berbeza berbanding perkembangan industri automotif Jerman ketika ini apabila beberapa pengeluar utama seperti Volkswagen, Mercedes-Benz dan BMW sedang mengambil langkah mengurangkan kos, termasuk pengurangan tenaga kerja serta mempertimbangkan penutupan kilang susulan tekanan persaingan daripada pengeluar China.

Tesla bagaimanapun melihat Jerman sebagai lokasi penting untuk rancangan pengembangan perniagaannya di Eropah, meskipun operasi syarikat itu di Gruenheide sebelum ini berdepan bantahan berkaitan alam sekitar serta pertikaian dengan kesatuan pekerja tempatan.

Menurut Tesla, kilang berkenaan disasarkan mampu menghasilkan sehingga sejuta unit Cybercab setiap tahun. Bagaimanapun, model teksi robot autonomi itu masih belum mencapai tahap pengkomersialan berskala besar di mana-mana pasaran.

Permohonan kelulusan pembinaan fasiliti tambahan itu dijangka dikemukakan sebelum penghujung tahun ini, manakala kerja pembinaan dirancang bermula pada separuh pertama 2027. Pengeluaran pula disasarkan bermula pada 2029.

Tesla turut memaklumkan bahawa projek tersebut akan membuka peluang pekerjaan baharu, dengan beberapa ratus pekerja diperlukan pada peringkat awal bagi menyokong perancangan pembinaan dan pengeluaran.

Walaupun pelaburan itu dianggap perkembangan positif kepada sektor automotif Jerman, penganalisis industri Matthias Schmidt mempersoalkan sejauh mana projek berkenaan mampu menyediakan peluang pekerjaan jangka panjang memandangkan penggunaan automasi dalam operasi kilang moden.

Dalam perkembangan berkaitan, kilang Gruenheide yang mula beroperasi pada Mac 2022 kini menjadi antara pusat pengeluaran penting Tesla di Eropah.

Syarikat itu turut meningkatkan pengeluaran SUV elektrik Model Y di fasiliti berkenaan dan mengambil lebih 2,000 pekerja baharu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Tesla juga merancang memulakan pengeluaran sel bateri di kilang tersebut pada pertengahan 2027.

Pada masa sama, syarikat itu bakal menamatkan pengeluaran Cybertruck di kilangnya di Austin, Texas, pada penghujung musim panas 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk sebelum ini menyatakan langkah tersebut akan membuka ruang kepada peningkatan kapasiti pengeluaran Cybercab.

Namun, kemampuan Cybercab untuk mencapai sasaran pengeluaran besar-besaran masih menjadi persoalan, khususnya dari segi penerimaan pasaran dan pelaksanaan teknologi pemanduan autonomi.

Google ads
Back to top button