Artikel Pilihan

TESLA CYBERCAB BOLEH PUSING BUMI 20 KALI

Tesla mendedahkan beberapa perincian menarik mengenai robotaksi Cybercab menerusi satu sesi lawatan teknikal bersama Munro Live di kilang Giga Texas. Dalam sesi tersebut, beberapa jurutera Tesla yang diketuai Naib Presiden Kejuruteraan Kenderaan, Lars Moravy, menerangkan secara terperinci pendekatan kejuruteraan yang digunakan untuk menghasilkan Tesla Cybercab

Pendedahan itu menunjukkan Cybercab bukan sekadar sebuah EV yang dibuang stereng dan pedal, namun dibangunkan dengan pendekatan berbeza dari segi struktur bateri, sistem pacuan elektrik, proses pembuatan serta penyelenggaraan. Tesla memberi tumpuan kepada pengurangan kos pengeluaran dan memastikan kenderaan ini mampu beroperasi untuk tempoh yang panjang dalam perkhidmatan.

Paling menarik ialah penggunaan pek bateri baharu yang lebih mudah diselenggara. Cybercab masih menggunakan sel bateri 4680 seperti yang terdapat pada beberapa model Tesla, tetapi susunannya berbeza berbanding pek bateri struktur yang digunakan pada Model Y.

Bateri Cybercab dibahagikan kepada beberapa modul berasingan yang ditempatkan dalam sebuah perumah keluli dengan setiap modul menggunakan bahan khas untuk mengekalkan kedudukan dan perlindungan sel bateri. Pendekatan ini membolehkan Tesla menggantikan modul yang mengalami kerosakan tanpa perlu menukar keseluruhan pek bateri.

Ia merupakan perubahan penting berbanding konsep bateri struktur yang mengintegrasikan pek bateri terus ke dalam struktur kenderaan. Pek bateri baharu itu turut menggunakan sistem pengurusan bateri tanpa wayar atau wireless Battery Management System (BMS). Tesla juga menggugurkan penggunaan komponen pyrotechnic fuse atau pyro fuse yang lazim digunakan sebagai mekanisme pemutusan litar keselamatan dalam sistem bateri.

Dari segi sistem pacuan, Cybercab menggunakan unit motor elektrik baharu yang memacu roda hadapan. Unit tersebut mempunyai nisbah gear 11:1 dan dipadankan dengan inverter generasi baharu yang mempunyai reka bentuk lebih ringkas serta bilangan komponen lebih sedikit.

Antara kelebihan reka bentuk inverter ini ialah kerja penyelenggaraan boleh dilakukan dari bahagian atas tanpa perlu mengangkat keseluruhan kenderaan atau menanggalkan unit pacuan. Tesla turut menggunakan pam minyak mekanikal yang lebih ringkas berbanding pam elektrik bagi mengurangkan kos dan kerumitan sistem.

Tesla menyatakan beberapa komponen berkaitan, termasuk papan litar dan power stage, akan mula dihantar dari fasiliti Fremont untuk digunakan pada kenderaan yang dibina di sana pada tahun ini. Ini membuka kemungkinan teknologi tersebut turut dimanfaatkan oleh model Tesla lain pada masa hadapan.

Satu lagi perubahan besar melibatkan proses pengecatan badan kenderaan dimana Tesla memilih untuk tidak menggunakan kemudahan cat konvensional bagi menghasilkan Cybercab. Sebaliknya Tesla menggunakan proses Reaction Injection Molding (RIM), iaitu kaedah yang membolehkan warna dimasukkan terus ke dalam bahan ketika panel badan dibentuk menggunakan acuan.

Pendekatan tersebut menghapuskan keperluan untuk proses pengecatan konvensional yang memerlukan fasiliti besar, tenaga kerja dan penggunaan tenaga yang tinggi. Menurut Moravy, pembinaan sebuah fasiliti pengecatan boleh menelan belanja beberapa ratus juta dolar. Dengan menggunakan kaedah alternatif ini, Tesla berharap dapat mengurangkan kos pengeluaran dengan ketara.

Warna yang dicampurkan ke dalam bahan panel juga bermakna ia bukan sekadar lapisan cat di permukaan. Oleh itu, calar kecil tidak semestinya mendedahkan warna berbeza seperti yang boleh berlaku pada panel bercat konvensional. Tesla turut menjelaskan bahawa kerosakan permukaan masih boleh dibaiki.

Dari sudut pembuatan, Cybercab menjadi antara contoh utama pelaksanaan konsep Unboxed Manufacturing yang dibangunkan Tesla. Melalui pendekatan ini, kenderaan dibahagikan kepada beberapa modul utama yang boleh dipasang secara berasingan sebelum dicantumkan pada peringkat pemasangan akhir.

Kaedah tersebut membolehkan beberapa bahagian kenderaan dibina dan diuji secara serentak. Tesla mendakwa pendekatan ini mampu mengurangkan penggunaan ruang lantai kilang sehingga 50 peratus berbanding proses pemasangan konvensional.

Barisan pemasangan akhir Cybercab pula hanya menggunakan 25 stesen, dengan tahap automasi keseluruhan dilaporkan mencapai sekitar 78 peratus. Bahagian tertentu seperti pemasangan struktur badan sudah mencapai tahap automasi 100 peratus.

Tesla turut menggunakan sistem brake-by-wire pada Cybercab, membolehkan operasi brek dikawal secara elektronik tanpa bergantung sepenuhnya kepada sambungan mekanikal konvensional. Sistem berkenaan juga membolehkan komponen brek hadapan dan belakang diuji secara berasingan sebelum dipasang pada kenderaan.

Moravy menyatakan kenderaan itu direka untuk bertahan sekurang-kurangnya 500,000 batu, bersamaan kira-kira 804,672 kilometer. Cybercab bukan dibangunkan untuk kegunaan persendirian biasa tetapi ia direka untuk beroperasi sebagai EV autonomi penuh yang boleh membawa penumpang berulang kali sepanjang hari.

Tesla kini menyasarkan penghantaran Cybercab pertama kepada pelanggan sebelum penghujung 2026. Namun operasi komersialnya masih bergantung kepada keperluan kelulusan dan peraturan keselamatan pihak berkuasa kerana Cybercab tidak dilengkapi stereng, pedal pemecut atau pedal brek konvensional.

Google ads
Back to top button