Buletin

BOS NO 1 CHERY MOHON MAAF ISU KUALITI OMODA 5 MALAYSIA

Pengerusi dan Presiden Chery Mr. Yin Tongyue secara terbuka memohon maaf atas isu kualiti produk Chery di Malaysia semasa berucap di Persidangan Kenderaan Bersambung Pintar Dunia (WICV) pada 21 Oktober 2026. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau telah memohon maaf secara peribadi kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia pada hari yang sama.

Permohonan maaf itu susulan insiden sebuah Chery Omoda 5 yang gandar belakangnya tercabut dari kenderaan dan tular di media sosial. Insiden ini menyebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara kelulusan jenis kenderaan (VTA) model berkenaan, sekali gus menyekat pendaftaran baharu sehingga siasatan selesai.

Chery kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi dan melancarkan kempen panggilan balik yang membabitkan sejumlah 8,878 unit Omoda 5 bagi varian C dan H. Mr. Yin Tongyue menegaskan bahawa pengembangan perniagaan ke luar negara bukan bertujuan untuk meraih keuntungan cepat, sebaliknya perlu menghormati undang-undang dan amalan perniagaan tempatan.

Beliau juga mengingatkan supaya pihak terlibat tidak terlalu takbur atau bermegah-megah ketika mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.Omoda 5 merupakan model yang telah dihentikan pengeluaran dan digantikan oleh Chery O5 pada September 2025. Chery O5 menggunakan suspensi belakang multi-link yang berbeza berbanding torsion beam pada Omoda 5.

Google ads
Back to top button