
TESLA CYBERTRUCK SEBENARNYA GAGAL!!!
Tesla dijangka mengurangkan pengeluaran Cybertruck di kilang Gigafactory Texas sekitar pertengahan 2027 bagi memberikan lebih banyak kapasiti pengeluaran kepada Cybercab, iaitu kenderaan autonomi yang sedang dibangunkan syarikat itu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menerusi satu kenyataan di platform X. Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan Cybertruck yang sebelum ini diperkenalkan sebagai antara produk paling penting dalam barisan kenderaan elektrik Tesla.
Pengurangan pengeluaran di Gigafactory Texas tidak semestinya bermaksud Cybertruck akan dihentikan sepenuhnya. Tesla masih belum menjelaskan sama ada pengeluaran model berkenaan akan dipindahkan ke kilang lain atau ditamatkan selepas 2027.
Cybertruck pertama kali diperkenalkan pada November 2019 dengan reka bentuk badan yang sangat berbeza berbanding trak pikap konvensional dengan menggunakan panel badan keluli tahan karat dan bentuk bersudut tajam, model ini berjaya mencuri perhatian dunia ketika pelancaran sulungnya.
Walaupun ketika diperkenalkan Tesla mengumumkan harga permulaan sekitar AS$39,900, namun apabila penghantaran kepada pelanggan bermula pada November 2023, harga jualan sebenar didapati jauh lebih tinggi berbanding harga yang diumumkan pada peringkat awal yang menyebabkan pemintaan menjadi semakin lemah
Tesla pada asalnya menyasarkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 250,000 unit Cybertruck. Namun berdasarkan anggaran Kelley Blue Book, Tesla hanya menjual sebanyak 11,586 unit Cybertruck di Amerika Syarikat sepanjang sembilan bulan pertama 2026. Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, jumlah jualan terkumpul Cybertruck dianggarkan masih kurang daripada 71,000 unit berdasarkan data yang dilaporkan Car and Driver. Angka ini memperlihatkan jurang besar berbanding sasaran pengeluaran tahunan yang pernah ditetapkan Tesla.
Selain faktor harga, Cybertruck turut berdepan beberapa cabaran lain termasuk kempen panggil balik dan aduan berkaitan kualiti produk. Walaupun reka bentuk futuristiknya berjaya menarik perhatian ramai, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada permintaan yang cukup tinggi untuk mencapai sasaran jualan Tesla.
Dengan kapasiti pengeluaran Cybertruck dijangka dikurangkan di Gigafactory Texas, Tesla boleh menggunakan kemudahan pengeluaran sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran Cybercab apabila tiba masanya. Daripada memberikan tumpuan kepada pengeluaran sebuah trak pikap elektrik yang mempunyai pasaran khusus, syarikat itu kini mahu menyediakan lebih banyak ruang untuk produk yang dianggap mempunyai potensi dalam perniagaan robotaxi.
Sekiranya pengeluaran Cybertruck benar-benar ditamatkan pada 2027, model tersebut hanya akan mempunyai tempoh pengeluaran sekitar empat tahun sejak penghantaran pertamanya bermula pada November 2023.









