
ANGKA-TAN MOTOR LANCAR FOTON AUMARK S CITY FLYER. 2 VARIAN, BERMULA RM94K
Pengedar tunggal kenderaan komersial ringan (LCV) Foton dan Foton Auman di Malaysia, Angka-Tan Motor Sdn Bhd, memperkenalkan trak tugas ringan Foton Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065 serba baharu bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Trak itu ditawarkan dalam dua varian – VDJD4 dan VDJD6, dengan jarak roda 2,800mm dan 3,360mm. Aumark S City Flyer hadir selepas setahun setengah pelancaran rasmi Aumark S Super Truck 6-Roda pada Disember 2020. Ia dibina berasaskan platform ‘SUPER’ Foton yang terdiri daripada lima elemen utama iaitu keselamatan, utiliti, kuasa, kecekapan dan reliabiliti.
Jentera itu juga merupakan hasil gabungan lima firma peneraju teknologi dunia seperti Cummins, ZF Friedrichshafen, WABCO, Bosch dan Exedy.
Aumark S City Flyer dikuasakan oleh enjin pengecas turbo Euro3 generasi baharu, Cummins ISF 2.8 liter dengan transmisi manual 5-kelajuan ZF. Enjin itu mampu menjana kuasa pada 3,200rpm dan tork 310Nm pada 1,600 hingga 2,700rpm.

City Flyer memiliki berat kasar 5.6 tan yang memudahkan perjalanan di dalam dan antara bandar. Sekali gus yang membolehkan pelanggan membawa lebih banyak muatan dalam setiap trip.
Ruang kabin telah direka semula dan ditambah baik supaya pemandu dan rakan pemandu lebih selesa. Tempat duduk dipertingkat dengan kusyen dan fabrik yang lebih tahan lama. Ia juga didatangkan dengan platform pemegang cawan dan kabinet fail.
Semua kenderaan komersial Foton di Malaysia didatangkan dengan Foton Total Care dan disokong oleh rangkaian servis Tan Chong Group. Dengan keberadaan pusat servis Tan Chong Group di seluruh negara, pelanggan kini memiliki kemudahan servis, termasuk alat ganti tulen Foton untuk memastikan keselamatan kenderaan dan jangka hayat servis yang berpanjangan.

Pemilik juga boleh memilih TC Trust, iaitu perjanjian servis yang disesuaikan mengikut perniagaan. Ia direka untuk mengoptimumkan keseluruhan kos pemilikan trak Foton dan menyediakan pengurusan penyenggaraan fleet yang mudah.
Sebagai tambahan, latihan pemandu juga disediakan untuk meningkatkan kemahiran supaya dapat memandu dengan lebih jimat, sekali gus meningkatkan masa operasi dan merendah kos operasi. Jika berlaku kes kecemasan, perkhidmatan 24-jam
Res-Q dan One-Stop Repair serta Servis Insurans disediakan untuk memberikan masa operasi yang optimum.
Di Semenanjung, Aumark S City Flyer 4-Roda BJ1065VDJD4 dijual pada harga RM93,900, manakala BJ1065VDJD6 berharga RM95,900 seunit.
Setiap City Flyer dilindungi jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 200,000km. (mana-mana tiba dahulu). Maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran Foton atau hubungi talian 03-56386888.







