ANGKA-TAN MOTOR LANCAR TRAK PIKAP JMC VIGUS PRO. ENJIN 2.0L, BERMULA RM98,888
Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) hari ini melancarkan trak pikap JMC Vigus Pro ke pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga bermula cuma RM98,888*, Vigus Pro sememangnya sebuah trak pikap 4WD yang bergaya, versatil dan mampu milik.
Trak pikap berkenaan dipasang di kilang Tan Chong Motor di Serendah, Selangor. Ia kini sudah boleh dilihat dan dipandu uji di semua 13 pengedar ATM di seluruh negara yang turut merangkumi rangkaian 13 bengkel perkhidmatan selepas jualan. Penyerahan kenderaan baharu kepada pelanggan dijangka bermula pada akhir Oktober 2021.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Mayflower Car Rental Sdn Bhd kerana menjadi pelanggan fleet perintis dengan tempahan awal sebanyak 30 unit Vigus Pro. Keyakinan dan kepercayaan mereka menjadi bukti kukuh terhadap Vigus Pro dan ATM,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd dan Pengarah Eksekutif Angka-Tan Motor, Tan Keng Meng.
Penampilan jentera itu diserlahkan dengan gril berbentuk heksagon bersaiz besar bersama kemasan krom, lampu utama nipis, lampu nyalaan siang LED berbentuk C dan pelindung pada bahagian bawah bampar.
Rekaan agresif itu diteruskan ke bahagian sisi dengan over fender dengan warna badan. Manakala garis badan dapat dilihat dari pintu hadapan ke lampu belakang 3D. Vigus Pro turut dipasang dengan sports bar bersama lampu brek ketiga, pemijak sisi, cermin sisi boleh dilipat secara automatik dan lampu isyarat membelok serta rim aloi dua tona bersaiz 16 inci.
Gayaan rugged ditingkatkan dengan kemasan pada bahagian bawah bampar belakang. Pemijak kaki disepadukan dengan bampar belakang untuk memudahkan akses ke ruang kargo yang luas itu.
Vigus Pro dikuasakan oleh enjin turbo diesel 2.0 liter Puma yang menampilkan sistem pancitan bahan api common-rail tekanan tinggi, pengecas turbo geometri boleh ubah, intercooler dan injap cooler bypass EGR. Ini membolehkannya menghasilkan kuasa 141PS pada 3,600rpm dan tork 340Nm bermula 1,500rpm sehingga 2,600rpm.
Enjin turbo diesel itu dipadankan bersama kotak gear automatik ZF 8-kelajuan yang dioperasi menerusi pemilih gear elektronik dengan fungsi mod penukaran manual.
Rangkaian kuasa yang telah diperhalusi ini menawarkan penjimatan bahan api luar biasa iaitu 7.8L/100km (ujian UNECE R101). Sekali gus menjadikannya salah satu trak pikap 1 tan paling jimat yang ada dijual di Malaysia sekarang.
Bagi memastikan kestabilan di atas permukaan jalan yang mencabar, Vigus Pro dibina menggunakan kerangka jenis ladder yang mampu menampung beban sehingga 850kg. Struktur yang tegar itu turut direka untuk menyerap impak jika berlaku kemalangan.
Suspensi hadapan terdiri daripada double-wishbone bebas sepenuhnya dengan bar penstabil yang telah diperkukuhkan. Sementara gandar belakang menggunakan gegelung jenis dedaun untuk menawarkan ketahanan dan keupayaan mengangkut beban yang berat.
Prestasi off-road Vigus Pro disumbang oleh sistem 4WD yang dibangunkan oleh BorgWarner. Pemandu boleh menukar di antara mod 2WD, 4WD dan low-range 4WD menerusi dial rotari untuk disesuaikan dengan perubahan permukaan jalan.
Gandar belakang juga dipasang dengan kunci limited-slip differential Eaton yang boleh menyalurkan kuasa tork ke roda untuk memberikan cengkaman ketika roda mula tergelincir. Sebagai tambahan, Vigus Pro dilengkapi ciri Hill Descent Control yang mengoperasikan brek kenderaan secara automatik apabila menuruni laluan curam (sehingga 8km/j), seterusnya membolehkan pemandu fokus untuk mengendalikan trak berkenaan.
Ciri-ciri lain seperti Hill Start Assist, ABS dengan Electronic Brake-Force Distribution dan Electronic Stability Program dengan Traction Control turut hadir sebagai standard pada Vigus Pro.
Rekaan ruang dalaman dilengkapi pelbagai kemudahan moden untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik. Ia hadir dengan stereng multi-fungsi bersama butang kawalan untuk sistem infohibur, kawalan jelajah dan panggilan suara menerusi sambungan Bluetooth.
Stereng dua jejari dibalut kulit itu juga didatangkan dengan paddle shifter yang membolehkan pemandu menukar kedudukan gear tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng.
Vigus Pro didatangkan dengan sistem infohibur yang terdiri daripada skrin sentuh warna bersaiz 8 inci, ketersambungan Bluetooth, pemain video MP5 dan kamera undur.
Kemudahan-kemudahan lain yang hadir sebagai ciri standard pada Vigus Pro termasuklah cermin sisi kuasa boleh dilipat dan tingkap yang boleh dioperasi dari jauh. Selain fungsi pemanas pada cermin sisi.
JMC Vigus Pro ditawarkan dalam satu varian dengan empat pilihan warna – coklat (Steady Brown), putih (Solid White), perak (Brilliant Silver) dan hitam (Glossy Black). Ia juga hadir dengan jaminan selama tiga tahun/100,000km, mana-mana tiba dahulu.
Harga jualan runcit yang dicadangkan (di atas jalan tanpa insurans) untuk JMC Vigus Pro ialah RM98,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM100,888 (Sabah/Sarawak).
- BACA: KENAPA TRAK PIKAP LEBIH BANYAK KELEBIHAN BERBANDING SUV?
- BACA: TRAK PIKAP DODGE RAM TARIK LORI BALAK SEBERAT 67 TAN. JAHANAM DRIVELINE BOSSKU
- BACA: TRAK PIKAP MAXUS T60. 2.8L TURBO DIESEL, 3 MODE PEMANDUAN, TPMS, RM99,888 SAHAJA
- BACA: FARIZON FX – TRAK PIKAP ANEH BUATAN GEELY. GUNA PLATFORM BOYUE PRO (PROTON X70)
GALERI