
KASTAM TUNTUT DUTI EKSAIS RM180.1 JUTA DARIPADA TAN CHONG MOTOR ASSEMBLIES
Jabatan Kastam Diraja Malaysia dilapor telah menyerahkan bil tuntutan berjumlah RM180.1 juta kepada anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH), Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA).
Bil itu melibatkan tuntutan ke atas duti eksais untuk tempoh bermula 1 November 2016 hingga 31 Oktober 2019.
Namun begitu, TCMA tidak mengakui sebarang liabiliti terhadap tuntutan yang dibuat JKDM itu. Ia akan mengambil langkah sewajarnya setelah mendapatkan nasihat lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Syarikat akan memaklumkan segala perkembangan terkini mengenai perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
TCMA merupakan syarikat yang bertanggungjawab ke atas aspek pemasangan kenderaan jenama di negara ini. TCMA mula beroperasi pada 1976 dengan kilang pemasangan pertamanya di Segambut, Kuala Lumpur, sebelum diikuti oleh sebuah lagi kilang di Serendah, Selangor pada 2007.
Setelah lebih 40 tahun beroperasi, TCMA mengeluarkan lebih satu juta kenderaan pelbagai jenama kenderaan penumpang dan komersial seperti Nissan, Renault, Subaru, Mitsubishi, UD Trucks, Foton dan trak Bison.
Saham TCMH di Bursa Malaysia ditutup 1.89 peratus atau dua sen lebih tinggi kepada RM1.08. – Berita Harian