
TRAK PIKAP JMC VIGUS PRO 4×4 BAKAL DILANCARKAN. 141PS, ZF 8-KELAJUAN
Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) bakal mengembangkan portfolio kenderaannya selepas dilantik oleh Jiangling Motors Co., Ltd (JMC) sebagai pengedar rasmi trak pikap JMC Vigus Pro 4×4 di Malaysia.
Kerjasama di antara ATM dan JMC dimeterai selepas kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian Perlesenan Teknologi Kenderaan pada 1 Julai 2020. JMC telah memberi hak penuh kepada ATM untuk mengilang, memasang dan menjual trak pikap JMC Vigus Pro 4×4, serta alat ganti dan komponen berkaitan di Malaysia.
ATM juga merancang untuk menawarkan JMC Vigus Pro menerusi 13 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa selepas 12 bulan bekerja keras, Angka-Tan Motor dengan kerjasama Jiangling Motors Co., Ltd kini bersedia untuk memperkenalkan pesaing dalam segmen trak pikap yang popular.
“Trak pikap JMC Vigus Pro 4×4 yang bergaya dan berteknologi tinggi ini sudah membuktikan keupayaannya di pasaran China. Kami tidak sabar untuk berkongsi produk baharu ini dengan peminat trak pikap di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng.
“Sebagai pengeluar dan pengeksport kenderaan komersial ringan utama di China, kami teruja untuk menawarkan trak pikap yang versatil dan dilengkapi teknologi terkini kepada pengguna di Malaysia. JMC merupakan jenama kedua paling laris dalam segmen trak pikap di China bertahun-tahun lamanya.

“Kami ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan Angka-Tan Motor sebagai pengedar rasmi JMC Vigus Pro 4×4 dan menyatakan penghargaan kepada Warisan TC atas sokongan mereka untuk menjadikan kerjasama ini satu realiti,” kata Presiden Jiangling Motors Co., Ltd., Xiong Chunying.
Harga dan spesifikasi penuh JMC Vigus Pro dijangka didedahkan dalam bulan Oktober 2021. Pelanggan boleh melihat JMC Vigus Pro dari dekat di bilik pameran utama ATM di Klang, Selangor dan membuat tempahan di pengedar-pengedar berhampiran atau hubungitalian 03-3359 6068.
Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.jmcmalaysia.com dan ikuti JMC Malaysia di https://www.facebook.com/jmcmalaysiaofficial
Spesifikasi penting JMC Vigus Pro:
- Enjin turbo diesel 2.0L TDI 4-silinder dengan VGT
- Kuasa 141PS (3,600rpm) dan tork 340Nm (1,500rpm hingga 2,600rpm)
- Transmisi automatik ZF 8-kelajuan dengan mode manual
- Sistem 4WD BorgWarner dengan mode 2H, 4H dan 4L
- Rear Differential Lock daripada Eaton
- Penjimatan bahan api mendahului kelasnya pada 7.8L/100km
- Kamera undur