
ARAMCO MAHU BELI 10% HORSE POWERTRAIN, RENAULT DAN GEELY 90%
Seperti yang dilaporkan pada Mei, Renault Group, Zhejiang Geely Holding Group dan Geely Automobile Holdings Limited (Geely) telah menubuhkan Horse Powertrain Limited.
Penubuhan Horse merupakan sinergi di antara kedua-dua syarikat dan secara langsung mempunyai sejumlah kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengeluaran di serata dunia.
Terbaru Aramco yang merupakan satu daripada syarikat gergasi dunia telah menandatangani perjanjian bagi membeli sepuluh peratus pegangan di dalam Horse Powertrain Limited.
Perancangan tersebut telah diumumkan pada Mac 2023 apabila Aramco menandatangani surat hasrat (LOI).
Aramco akan membeli sepuluh peratus pegangan di dalam Horse Powertrain dari Renault Group dan Geely dalam jumlah sama dan masing-masing akan mengekalkan 45 peratus pegangan.
Nilai yang perlu dibayar (tertakluk kepada kelulusan) berdasarkan penilaian perusahaan (enterprise valuation) 7.4 bilion euro (RM37.56 bilion).
Pelaburan itu akan meningkatkan sumbangan Aramco di dalam peralihan tenaga dunia melalui pembangunan dan pengkomersialan lebih banyak penyelesaian pengangkutan mampan.
Perjanjian itu juga termasuk pengaturan kerjasama untuk Aramco dan Valvolibe di dalam bidang teknologi, bahan api dan pelincir bagi menambah baik prestasi enjin pembakaran dalaman (ICE) Horse.
Aramco, Renault Group dan Geely berkongsi pandangan bahawa proses nyahkarbon di dalam industri automotif memerlukan gabungan pelbagai teknologi.
Di antaranya ICE bercekapan tinggi, transmisi dan rangkaian kuasa hibrid, bahan api alternatif seperti bahan api sintetik karbon rendah dan hidrogen serta elektrifikasi kenderaan.
Kesemua komponen itu diperlukan bagi membantu peralihan tenaga dan pengangkutan yang teratur di seluruh dunia.
Siaran media sebelum ini memaklumkan HORSE Powertrain akan membekal kepada pelbagai pelanggan industri seperti Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan dan Mitsubishi Motors.
Satu yang masuk akal memandangkan kesemua jenama tersebut masing-masing berada di bawah dan berkaitan Renault Group dan Geely.
Tinggal lagi pengumuman mengenai siri keluarga rangkaian kuasa dari Horse Powertrain dan pengunaannya di dalam kenderaan kumpulan.
Contoh terdekat boleh dilihat bagaimana Toyota Motor dan Kumpulan Volkswagen memanfaatkan skala ekonomi untuk jenama masing-masing.
Kemudahan dan kepakaran yang dimiliki Horse Powertrain Limited:
- 17 kilang di serata dunia
- 9 pelanggan industri di 130 buah negara
- 5 pusat R&D
- Sekitar 19,000 pekerja
- Anggaran 5 juta rangkaian kuasa setiap tahun
- Pelbagai jenis rangkaian kuasa (hibrid penuh, hibrid plug-in, ICE dan bahan api alternatif seperti etanol, metanol, LPG, CNG, hidrogen dll)