RENAULT GROUP DAN GEELY TUBUH HORSE POWERTRAIN, BAKAL BEKAL KEPADA PROTON!
Pada 11 Julai 2023 terdapat satu perjanjian ditandatangan oleh dua kumpulan automotif yang tidak asing buat pengguna di dalam negara.
Selepas diluluskan pihak berkuasa, Renault Group, Geely Holding Group (Geely Holding), Geely Automobile Holdings Limited (Geely Auto) secara rasminya menubuhkan HORSE Powertrain Limited.
Satu nama yang menarik (Horse Power = HP?) dan ibu pejabat syarikat terletak di London, United Kingdom.
Pengumuman ini dibuat selang beberapa hari selepas Subaru, Toyota dan Mazda mengumumkan program pemerkasaan enjin pembakaran dalaman (ICE) ke arah neutral karbon.
Nampaknya masa depan ICE masih lagi cerah dan tidak malap diselubungi rangkaian kuasa elektrik bateri.
Renault Group dan Geely percaya gabungan pelbagai teknologi rangkaian kuasa adalah satu keperluan yang merangkumi ICE bercekapan tinggi, e-fuel (bahan api sintetik) dan hidrogen dalam misi nyahkarbon.
Kepelbagaian itu penting di dalam dunia di mana lebih daripada separuh kenderaan dihasilkan dan juga dijangka masih bergantung kepada enjin pembakaran menjelang 2040.
HORSE Powertrain akan merekabentuk, membangun, mengeluar dan menjual semua jenis rangkaian kuasa hibrid dan pembakaran dan sistem dengan teknologi canggih termasuk enjin, transmisi, sistem hibrid dan bateri.
Memandangkan kedua-dua kumpulan sudah lama ditubuhkan dan mempunyai teknologi masing-masing, manfaat yang diterima dijangka positif.
Disokong oleh harta intelektual (IP) dari Renault Group dan Geely, HORSE Powertrain Limited sekarang ini bebas dalam membangunkan teknologi rangkaian kuasa masa depan yang mampu memenuhi jangkaan semua pasaran.
Seperti yang dinyatakan, usaha sama ini tidak hanya melibatkan ICE tetapi juga bahan api alternatif seperti metanol hijau, etanol dan hidrogen.
Siaran media rasmi memaklumkan HORSE Powertrain akan membekal kepada pelbagai pelanggan industri seperti Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan dan Mitsubishi Motors.
Maknanya Proton akan berkongsi sejumlah teknologi dan perkakasan dengan syarikat antarabangsa lain. (Hello Mitsubishi dan Renault!).
HORSE Powertrain juga bersedia untuk berhubung dengan pelanggan dan rakan di serata dunia bagi menyokong mereka dengan penyelesaian hujung ke hujung dalam teknologi rangkaian kuasa.
Syarikat turut mengalu-alukan rakan kerjasama bagi mengukuhkan rantaian nilai.
Berkenaan struktur syarikat, ahli lembaga pengarah HORSE Powertrain Limited terdiri daripada tiga pengarah dari Geely dan tiga pengarah dari Renault Group.
Matias Giannini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HORSE Powertrain Limited.
Beliau adalah bekas Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Ahli Pasukan Pengurusan Vitesco Technologies AG.