
GEELY PERKENAL TEKNOLOGI PACUAN LASAK BERASASKAN AI, BAKAL DEBUT PADA GALAXY CRUISER 700
Geely Auto memperkenalkan satu pakej teknologi baharu yang digelar sebagai sistem pacuan lasak berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang akan membuat kemunculan sulung menerusi SUV lasak terbaharunya, Geely Zhanjian 700 atau turut dikenali sebagai Geely Galaxy Cruiser 700.
Teknologi tersebut menggabungkan tiga komponen utama iaitu platform kenderaan GTA (Geely Terrain Architecture), rangkaian kuasa hibrid Thor EM-T serta casis digital semua permukaan yang dipacu AI. Gabungan teknologi ini dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan pemanduan di laluan mencabar tanpa mengorbankan keselesaan dan kecekapan.
Platform GTA menggunakan konsep gabungan antara struktur monokok dan rangka bersepadu, sekali gus menghasilkan badan kenderaan yang lebih kukuh tetapi ringan. Menurut Geely, struktur ini mampu mengurangkan berat sehingga 100 kilogram berbanding rangka tradisional, selain menawarkan ketegaran kilasan melebihi 40,000Nm/deg.
Reka bentuk tersebut juga membolehkan ruang kabin dimanfaatkan dengan lebih cekap, termasuk lantai yang rata sepenuhnya dan ambang pintu yang lebih rendah. Hasilnya, kadar penggunaan ruang dalaman mencecah 80.3 peratus.

Dari segi kemampuan lasak, Zhanjian 700 menawarkan kelegaan tanah 233 milimeter, manakala pek baterinya berada pada ketinggian 313 milimeter dari permukaan bumi. Bumbung kenderaan pula direka untuk menampung beban sehingga 16 tan.
Sistem kuasa Thor EM-T menggunakan konfigurasi pacuan semua roda dengan tiga motor elektrik yang digandingkan bersama enjin turbo 2.0 liter khas untuk kegunaan off-road. Sistem ini merangkumi transmisi DHT tiga kelajuan, motor P3 pada gandar hadapan dan dua motor P4 pada gandar belakang.
Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 830kW atau bersamaan 1,113hp, menjadikannya antara SUV hibrid paling berkuasa yang pernah dibangunkan oleh Geely.
Bagi menghadapi permukaan ekstrem, sistem pacuan ini dilengkapi dua kunci diferensial elektronik dan satu kunci mekanikal pada gandar belakang. Sistem elektronik mampu mengagihkan tork dalam masa beberapa milisaat, manakala kunci mekanikal boleh diaktifkan dalam tempoh sekitar 200 milisaat.
Casis digital AI yang digunakan pula disokong oleh pusat kawalan kenderaan GVMC 3.0 dan seni bina elektronik EEA 4.0. Sistem suspensi hidraulik aktifnya mampu mengimbas keadaan jalan sehingga 30 meter di hadapan sebelum membuat pelarasan secara automatik.

Selain menawarkan pelbagai mod pemanduan lasak, sistem ini turut membolehkan radius pusingan yang sangat kecil iaitu sekitar 3.36 meter. Motor elektriknya juga mempunyai penarafan kalis air IPX8 serta mampu membantu kenderaan terapung dalam situasi kecemasan.
Keselamatan turut diberikan perhatian dengan penggunaan keluli berkekuatan tinggi, struktur sangkar keselamatan tersembunyi dan sistem bateri “Aegis” yang diperkukuh khas untuk kegunaan off-road. Bahagian bawah bateri dilindungi oleh lapisan khas tahan hentakan bagi mengurangkan risiko kerosakan ketika meredah laluan mencabar.
Menariknya, Geely turut membangunkan fungsi “Floating Mode” yang membolehkan kenderaan bergerak dalam keadaan banjir atau air dalam menggunakan bantuan sonar dan sistem pendorong belakang.
Antara ciri premium lain termasuk komunikasi satelit orbit rendah (LEO), sistem penjana oksigen dalam kabin serta beberapa lapisan perlindungan digital bagi meningkatkan tahap keselamatan keseluruhan.
Dari segi saiz, Geely Zhanjian 700 mempunyai panjang 5,085mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,912mm dengan jarak roda 2,900mm. Rekaan luarnya menampilkan bentuk SUV berkotak yang lasak bersama tayar simpanan bersaiz penuh yang dipasang pada pintu belakang.
Setakat ini, Geely masih belum mengumumkan harga rasmi serta tarikh pelancaran model berkenaan. Namun, Zhanjian 700 dijangka menjadi penanda aras baharu dalam segmen SUV lasak berteknologi tinggi apabila memasuki pasaran kelak.








