
GEELY MULA LANGKAH BESAR DI EROPAH, BELI FASILITI FORD DI SEPANYOL
Pengeluar automotif dari China, Geely dilaporkan membeli sebahagian fasiliti pemasangan milik Ford Motor Company di Sepanyol, sekali gus membuka laluan kepada pengeluaran model Geely di Eropah pada masa depan.
Menurut laporan media automotif tempatan Sepanyol, La Tribuna de Automocion, Geely dikatakan mengambil alih fasiliti pemasangan Body 3 di kilang Almussafes yang terletak di Valencia.
Langkah itu dipercayai sebahagian daripada strategi syarikat berkenaan untuk memperkukuhkan operasi di Eropah, selain mengurangkan kesan tarif serta syarat import yang semakin ketat terhadap kenderaan buatan luar.
Dalam masa sama, laporan itu turut menyebut kedua-dua syarikat sedang menilai kemungkinan Geely menghasilkan sebuah model untuk Ford di fasiliti berkenaan.
Bagaimanapun, Geely masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. Wakil Ford pula menyifatkan laporan itu sebagai spekulasi dan enggan memberikan komen lanjut.
Sebelum ini, Reuters melaporkan Geely dan Ford sedang berbincang mengenai kerjasama teknologi automotif, termasuk perkongsian berkaitan pembangunan kenderaan.
Pengembangan Geely di Eropah dilihat selari dengan trend beberapa pengeluar China lain yang mula membina operasi pengeluaran di rantau itu bagi mengukuhkan kedudukan pasaran mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, media sama turut melaporkan SAIC Motor sedang mempertimbangkan lokasi di bandar pelabuhan Ferrol, Galicia sebagai tapak pengeluaran Eropah mereka.
Malah pada April lalu, Ketua Wilayah Galicia, Alfonso Rueda dilaporkan mengadakan lawatan ke ibu pejabat SAIC di Zhengzhou, China dalam usaha menarik pelaburan automotif ke wilayah berkenaan.
- BACA: DENZA B8 DEBUT DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI – 603HP, JARAK GERAK 1,040KM (NEDC)
- BACA: MERCEDES-AMG GLC 43 4MATIC COUPÉ NIGHTFALL EDITION DILANCARKAN – HARGA MULA RM518K
- BACA: KUALA LUMPUR KEMBALI MENYALA DENGAN JENTERA DUCATI SEMPENA WE RIDE AS ONE 2026
- BACA: HONDA ACCORD e:HEV 2026 DILANCARKAN DI THAILAND – TIGA VARIAN, HARGA MULA RM191K









